fb fb fb fb fb

Banjir: Beberapa kawasan Negeri Tamil Nadu lumpuh

Pekerja sukarelawan menghulurkan makanan kepada penduduk terjejas/REUTERS

CHENNAI, 19 Disember– Beberapa bahagian Negeri Tamil Nadu di selatan India, lumpuh selepas jaringan perhubungan jalan raya dan perkhidmatan kereta api terjejas, susulan hujan lebat dan banjir melanda negeri itu.

Banjir itu berlaku ketika dalam pemulihan daripada kerosakan akibat Taufan Michaung, yang melanda pantai bulan ini, mengakibatkan sekurang-kurangnya 13 orang terkorban.

Media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya lima orang maut disebabkan banjir dan kemalangan yang berkaitan dengan hujan, yang menjejaskan daerah Tuticorin, Tirunelveli, Tenkasi dan Kanyakumari.

Menurut Jabatan Cuaca, Tamil Nadu menerima hampir 50 mm taburan hujan pada Ahad dan Isnin lalu, berbanding 2.5 mm sebelum ini. Lebih banyak dijangkakan pada hari Selasa.

Sementara itu, pihak berkuasa sedang bertungkus-lumus menyelamatkan mereka yang terkandas.

Kira-kira 500 penumpang yang dalam perjalanan ke Chennai terkandas lebih 36 jam, selepas perkhidmatan kereta api digantung sementara.

Pasukan keselamatan menggunakan bot untuk menyelamatkan orang ramai, mengedarkan makanan kepada mereka yang tidak dapat dipindahkan ke tempat yang selamat.

Seorang penduduk Tirunelveli, P. Veeramanikan yang merupakan antara sukarelawan yang membantu pihak berkuasa dalam usaha menyelamat, berkata beberapa kawasan masih terlalu berbahaya untuk dilalui.

“Kawasan yang terletak lebih dekat dengan tebing sungai masih terjejas teruk, manakala paras air di kawasan lain mula surut,” katanya.

Tamil Nadu kerap mengalami bencana banjir. Lapan tahun lalu, Chennai dilanda hujan lebat yang menenggelamkan sebahagian besar bandar itu dan meragut kira-kira 290 nyawa.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN