REYKJAVIK, 19 Disember- Sebuah gunung berapi di Iceland meletus selepas mengalami gempa bumi bulan lalu, sekali gus menyebabkan wilayah barat daya ibu negara dalam keadaan berjaga-jaga.
Pejabat Meteorologi Iceland berkata letusan di semenanjung Reykjanes, di utara bandar Grindavik, bermula Isnin kira-kira 10.17 malam (2217 GMT), selepas gempa bumi dan beberapa gegaran kecil.
"Gunung berapi itu sepanjang kira-kira empat kilometer (2.5 batu), dengan hujung selatan hanya tiga kilometer dari Grindavik.
"Menjelang 3.00 pagi, keamatan letusan telah stabil, namun tidak dapat menganggarkan tempoh tersebut", katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri Katrin Jakobsdottir turut meluahkan perasaannya berhubung insiden tersebut menerusi facebook.
"Kami mengharapkan yang terbaik tetapi jelas ini adalah letusan yang besar,"katanya.
Selama beberapa minggu, negara itu menjangkakan letusan di semenanjung barat daya ibu negara selepas aktiviti gempa bumi yang kuat, yang mendorong pihak berkuasa untuk memindahkan beribu-ribu orang dan menutup 'Blue Lagoon' yang terkenal dengan perairan birunya.
"Kami kini menunggu untuk melihat apa yang ada di alam semula jadi," kata Presiden Gudni Thorlacius Johannesson menerusi ciapan di platfom X. Tambahnya, melindungi nyawa dan infrastruktur menjadi keutamaan.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Perlindungan Awam, Vidir Reynisson, menggesa orang ramai menjauhi kawasan itu.
Manakala, pengendali ISAVIA berkata insiden itu juga tidak menjejaskan operasi penerbangan antarabangsa.
"Buat masa ini, tiada gangguan pada ketibaan atau pelepasan di lapangan terbang Keflavik."
Letusan gunung berapi bukan perkara luar biasa di Iceland. Semenanjung Reykjanes tidak mengalami letusan selama lapan abad sehingga 2021.
Sejak itu, tiga letusan melanda iaitu pada 2021, 2022 dan awal tahun ini, semuanya berlaku di kawasan terpencil yang tidak berpenghuni.-AFP