BEIRUT,19 April-Pemimpin kumpulan Hizbullah, Naim Qassem berkata kumpulan tersebut tidak akan membenarkan mana-mana pihak untuk melucutkan senjata milik mereka.
Kenyataan tersebut dikeluarkan ketika cubaan Washington untuk menekan Beirut dalam usaha memaksa kumpulan yang disokong Iran itu menyerahkan senjata.
"Kami tidak akan benarkan sesiapa melucutkan senjata Hizbullah atau melucutkan senjata penentangan terhadap Israel," kata Qassem dalam satu kenyataan di saluran TV yang berkaitan dengan Hizbullah.
Qassem berkata kumpulannya bersedia untuk berdialog mengenai "strategi pertahanan", "tetapi bukan di bawah tekanan Israel.
"Israel mesti berundur (dari selatan Lubnan) dan menghentikan serangannya, dan negara Lubnan mesti memulakan proses pembinaan semula," tambahnya.
Kenyataan Naim hadir beberapa jam selepas seorang lagi pegawai Hizbullah berkata kumpulan itu enggan membincangkan penyerahan senjata selagi Israel belum berundur sepenuhnya dari selatan Lubnan.
"Ini bukan soal pelucutan senjata," kata Wafic Safa dalam satu temu bual dengan stesen radio Al-Nur yang dimiliki Hizbullah.
Safa, yang dipercayai pakar sebagai sebahagian daripada paksi paling radikal dalam pergerakan itu, berkata Hizbullah telah menyampaikan pendiriannya kepada Presiden Aoun.
"Strategi pertahanan adalah mengenai bagaimana untuk melindungi Lubnan, bukan untuk menyediakan parti menyerahkan senjatanya."
Di bawah gencatan senjata pada November, Israel sepatutnya menarik balik semua tenteranya dari selatan Lubnan.
Namun, walaupun terdapat perjanjian, tenteranya masih berada di lima posisi selatan Lubnan yang dianggap "strategik".
Israel juga terus menjalankan serangan hampir setiap hari terhadap Lubnan termasuk pada hari Jumaat dengan alasan mereka menyasarkan anggota Hizbullah.
Di bawah gencatan senjata itu, Hizbullah sepatutnya menarik balik pejuangnya ke utara Sungai Litani dan membongkar sebarang infrastruktur ketenteraan yang masih ada di selatan.
Tentera Lubnan telah mula dikerahkan di selatan semasa tentera Israel berundur.
Hizbullah menyatakan bahawa gencatan senjata itu tidak terpakai kepada seluruh Lubnan, walaupun ia berasaskan kepada Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701, yang menyeru pelucutan senjata kumpulan bukan negara.
Hizbullah adalah satu-satunya kumpulan yang menyimpan senjatanya selepas perang saudara Lubnan selama 15 tahun berakhir pada tahun 1990, dengan alasan bahawa senjata itu adalah untuk "penentangan" terhadap Israel, yang terus menduduki selatan sehingga tahun 2000.
Utusan khas Amerika Syarikat untuk Timur Tengah, Morgan Ortagus, yang melawat Beirut bulan ini, berkata Washington terus mendesak Beirut "untuk memenuhi sepenuhnya penghentian permusuhan, termasuk melucutkan senjata Hizbullah dan semua kumpulan pejuang.
Dalam kenyataannya pada Jumaat, Qassem berkata Hizbullah menolak "kawalan Amerika ke atas Lubnan".
Safa berkata bahawa kedua-dua pasukan iaitu Hizbullah dan tentera Lubnan sedang mematuhi syarat gencatan senjata.
"Masalahnya ialah Israel, yang belum berbuat demikian," katanya.
Pada Sabtu, satu sumber rapat dengan Hezbollah memberitahu AFP bahawa kumpulan itu telah menyerahkan kepada tentera Lubnan sekitar 190 daripada 265 posisi ketenteraannya di selatan Sungai Litani.
Hizbullah, yang telah lama menjadi kuasa dominan dalam politik Lubnan, kini menjadi lemah akibat lebih setahun pertempuran dengan Israel yang tercetus susulan perang Gaza, termasuk pencerobohan darat Israel dan dua bulan pengeboman yang menyebabkan kepimpinan kumpulan itu hancur.-AFP.