fb fb fb fb fb

Iran sedia capai perjanjian nuklear, jika AS bersikap realistik

Foto Reuters

MOSCOW, 18 April- Iran percaya perjanjian mengenai program nuklearnya dengan Amerika Syarikat (AS) boleh dicapai sekiranya Washington bersikap realistik dan tidak membuat tuntutan melampau.

Menurut Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, rundingan pertama yang diadakan minggu lalu di Oman menunjukkan kesungguhan AS.

"Jika mereka menunjukkan keseriusan dan tidak membuat tuntutan yang tidak realistik, perjanjian boleh dicapai," katanya dalam sidang media bersama rakan sejawatnya dari Rusia, Sergei Lavrov, di Moscow, Araqchi pada Jumaat.

Rundingan pusingan kedua antara Iran dan pentadbiran Presiden Donald Trump dijadual berlangsung di Rom pada Sabtu.

Trump sebelum ini memberi amaran akan menyerang Iran jika negara itu enggan bersetuju dengan perjanjian nuklear.

Iran mendakwa program itu untuk tujuan aman, tetapi negara Barat percaya ia bertujuan membina senjata nuklear.

Lavrov menyatakan kesediaan Rusia untuk memainkan peranan sebagai perantara dalam rundingan tersebut.

"Kami bersedia membantu, menjadi perantara atau memainkan sebarang peranan yang dapat memberi manfaat kepada Iran dan AS," ujar Lavrov.

Rusia sebelum ini turut terlibat dalam rundingan nuklear Iran sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan PBB dan penandatangan perjanjian asal yang ditinggalkan Trump pada 2018.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio menyatakan bahawa Washington masih mencari penyelesaian secara damai dengan Iran dan bertegas untuk tidak membenarkan negara itu memiliki senjata nuklear.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM