WASHINGTON, 19 April – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah melancarkan sebuah laman web baharu berkaitan COVID-19 yang mengemukakan dakwaan bahawa wabak coronavirus berpunca daripada kebocoran makmal di China.
Laman web tersebut turut mengandungi kritikan keras terhadap bekas Presiden Demokratik, Joe Biden; bekas Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan, Dr Anthony Fauci; serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Turut menjadi sasaran kecaman ialah langkah-langkah kesihatan awam seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan pelaksanaan sekatan pergerakan (lockdown).
Trump sebelum ini telah memulakan proses selama 12 bulan untuk menarik semula penyertaan Amerika Syarikat daripada WHO, yang merupakan penerima sumbangan kewangan terbesar daripada negara itu.
Tindakan tersebut dimulakan sejurus beliau memegang jawatan Presiden pada bulan Januari.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan balas dikeluarkan oleh Fauci, Biden atau WHO berhubung dakwaan-dakwaan tersebut.
Dalam satu tindakan kontroversi tidak lama selepas memulakan tugas sebagai Presiden, Trump turut menamatkan perlindungan keselamatan kerajaan ke atas Dr Fauci dan menyarankan agar beliau menyediakan pengawal keselamatannya sendiri, susulan ancaman yang diterima Fauci ketika mengetuai tindak balas negara terhadap pandemik COVID-19.
Sementara itu, seorang jurucakap Agensi Perisikan Pusat (CIA) pada Januari lalu menyatakan bahawa agensi berkenaan menilai pandemik COVID-19 “berkemungkinan besar” berpunca daripada makmal, namun menjelaskan bahawa tahap keyakinan terhadap penilaian itu adalah rendah.
CIA menegaskan kedua-dua kemungkinan, asal usul secara semula jadi dan kebocoran makmal masih dianggap munasabah.
Kerajaan China pula dalam reaksi balasnya menegaskan bahawa mereka menyokong dan terlibat dalam penyelidikan antarabangsa bagi menentukan punca asal COVID-19.
Beijing juga menuduh Washington mempolitikkan isu berkenaan, khususnya melalui penglibatan agensi perisikan Amerika Syarikat dalam siasatan yang dijalankan.
Menurut China, dakwaan bahawa kebocoran makmal merupakan punca utama kepada penularan wabak tersebut adalah tidak berasas dan tidak mempunyai sebarang kredibiliti.-REUTERS