SAINT JULIEN MONT DENIS, 19 April – Sekurang-kurangnya empat orang maut dalam kejadian ribut musim bunga yang melanda kawasan pergunungan Alps di Perancis dan utara Itali pada Khamis, termasuk seorang pelancong warga Britain.
Pusat-pusat peranginan ski di kawasan terbabit dilaporkan mula kembali beroperasi pada Jumaat selepas kejadian luar biasa itu menyebabkan gangguan infrastruktur dan kemusnahan akibat salji lebat dan hujan berpanjangan.
Mangsa warga Britain berusia 27 tahun itu maut selepas terperangkap dalam runtuhan salji (avalanche) di pintu masuk pusat peranginan ski Val Thorens, Savoie, Perancis.
Beliau ditemui dalam keadaan henti jantung dan dikejarkan ke hospital di Grenoble, namun disahkan meninggal dunia pada malam hari yang sama, menurut kenyataan Pendakwa Raya Tempatan, Benoit Bachelet.
Di Itali, tiga lagi mangsa maut akibat banjir kilat yang melanda wilayah utara negara itu.
Di wilayah Veneto, seorang lelaki berusia 64 tahun bersama anak lelakinya berumur 33 tahun terbunuh apabila kenderaan yang mereka naiki dihanyutkan arus deras.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 90-an ditemukan meninggal dunia di rumahnya yang dinaiki air di wilayah Piedmont.
Menurut pihak berkuasa, hujan lebat yang turun secara berterusan telah melanda kawasan utara Itali, dan salji mula turun pada altitud melebihi 1,800 meter.
Keadaan cuaca ekstrem itu turut menyebabkan jalan-jalan ditutup, perkhidmatan kereta api terganggu, serta gangguan bekalan elektrik di kawasan terjejas di Perancis, Itali dan Switzerland.
Walaupun penurunan salji pada bulan April bukan luar biasa bagi pergunungan Alps, jumlah salji yang turun dalam tempoh beberapa jam dianggap amat jarang berlaku.
Pihak berkuasa mengakui mereka tidak menjangka keadaan akan menjadi seteruk itu.
Beberapa kawasan di Alps Perancis dan Switzerland mengeluarkan arahan berkurung kepada penduduk pada Khamis sebagai langkah berjaga-jaga, sebelum ia ditarik balik keesokan harinya.
Tahap amaran runtuhan salji juga dinaikkan di beberapa wilayah, mengakibatkan penutupan sementara kawasan ski.
Bagaimanapun, menurut agensi cuaca Meteo France, amaran tersebut diturunkan pada petang Jumaat, namun pemain ski dinasihatkan agar terus berwaspada.
Banyak laluan ditutup akibat pokok tumbang dan risiko runtuhan salji. Kenderaan berat dilarang menggunakan Terowong Mont Blanc yang menghubungkan Perancis dan Itali, menyebabkan puluhan lori terkandas di Lebuh Raya A43.
Gangguan perkhidmatan kereta api turut direkodkan, manakala lebih 3,300 kediaman di Perancis dan 5,000 isi rumah di Itali dilaporkan terputus bekalan elektrik.
“Ia benar-benar luar biasa,” kata Didier Beauchet, seorang pesara yang telah tinggal di Lanslebourg, Savoie selama 40 tahun.
“Saya rasa ini baru kali kelima saya melihat kejadian seperti ini,” ujarnya kepada AFP ketika membantu membersihkan salji yang menutupi kenderaan.-AFP