fb fb fb fb fb

Bot terbakar: 143 maut, puluhan hilang di DR Congo

Keadaan bot terbakar yang dikongsi menerusi akaun X @africansinnews

KINSHASA, 19 April- Sekurang-kurangnya 143 orang terbunuh manakala puluhan lagi hilang selepas sebuah bot membawa bahan api terbakar dan terbalik di Sungai Congo berhampiran Mbandaka, ibu negeri wilayah Equateur, barat laut Republik Demokratik Congo (DR Congo) pada Selasa lalu.

Menurut Ketua Delegasi Timbalan Kebangsaan Wilayah berkenaan, Josephine-Pacifique Lokumu, ratusan penumpang berada atas bot kayu berkenaan ketika letupan berpunca daripada api memasak mencetuskan kebakaran besar.

"Sebanyak 131 mayat ditemui pada Rabu, manakala 12 lagi berjaya dibawa naik pada Khamis dan Jumaat. Beberapa mayat rentung," katanya pada Jumaat.

Jumlah keseluruhan penumpang tidak diketahui namun dianggarkan mencecah ratusan orang.

Pemimpin masyarakat sivil tempatan, Joseph Lokondo yang membantu proses pengebumian memaklumkan angka kematian sementara kini mencecah 145 orang.

Kejadian bot karam sering berlaku di negara Afrika Tengah itu susulan ketiadaan sistem jalan raya yang baik menyebabkan perjalanan air menjadi keperluan utama penduduk di kawasan pedalaman.

Pada Oktober 2023, sekurang-kurangnya 47 orang maut apabila sebuah bot karam di wilayah Equateur, manakala lebih 20 orang terkorban dalam kejadian bot terbalik di Tasik Kivu, timur negara pada bulan sama. -AFP

SITI AISHAH MD ISA