WASHINGTON, 19 April- Pentadbiran Trump menggesa Universiti Harvard mendedahkan maklumat mengenai sumber hasil asing yang diterima dalam tempoh sedekad lepas, lapor The Wall Street Journal pada Jumaat menurut Sputnik/RIA Novosti.
Pejabat Penasihat Undang-undang Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat telah menghantar surat kepada Presiden Harvard Alan Garber, menyatakan universiti itu memberi pendedahan yang "tidak lengkap dan tidak tepat" antara tahun 2014 hingga 2019, menurut laporan itu.
“Permintaan rekod hari ini merupakan langkah pertama pentadbiran Trump bagi memastikan Harvard tidak dimanipulasi atau menjadi alat kepada entiti asing,” kata Setiausaha Pendidikan AS Linda McMahon dalam satu kenyataan.
Namun, pihak Harvard menegaskan dalam kenyataan bertulis bahawa mereka telah memberikan semua maklumat yang dikehendaki oleh undang-undang, menurut laporan itu.
Pentadbiran itu turut meminta universiti berkenaan mengenal pasti semua pihak yang terlibat dalam sumbangan, geran, kontrak dan aktiviti berkaitan sumber asing. Pihak berkuasa juga mahu mendapatkan salinan komunikasi dengan kerajaan asing serta maklumat pelajar asing yang dibuang daripada Harvard sejak 2016, kata laporan itu.
Undang-undang AS mewajibkan universiti melaporkan sumbangan daripada sumber asing yang melebihi US$250,000.
Jabatan Pendidikan AS pada Isnin turut mengumumkan pembekuan dana kontrak dan geran berjumlah kira-kira US$2.3 bilion kepada Harvard selepas universiti itu menolak tuntutan Rumah Putih untuk melakukan perubahan dalam hal ehwal sumber manusia dan dasar pendidikan. Presiden Donald Trump turut mencadangkan agar pengecualian cukai Harvard ditarik balik. -BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI