LIBREVILLE, 19 April- Keputusan baharu sementara yang "disatukan" menunjukkan Brice Clotaire Oligui Nguema memperoleh 94.85 peratus undi dalam Pilihan Raya Presiden Gabon, meningkat daripada 90.35 peratus yang diumumkan sebelum ini, lapor Xinhua memetik Menteri Dalam Negeri Hermann Immongault pada Jumaat.
Peningkatan itu susulan proses penentusahan berganda terhadap keputusan pilihan raya membabitkan lapan calon yang bertanding pada pilihan raya 12 April lepas, kata menteri berkenaan dalam satu kenyataan.
Alain Claude Bilie By Nze, bekas perdana menteri di bawah pentadbiran Presiden terdahulu Ali Bongo, turut mencatat peningkatan kecil dalam keputusan undi beliau, daripada 3.02 peratus kepada 3.11 peratus.
Immongault menjelaskan bahawa keputusan awal yang diumumkan pada 13 April mengandungi “kesilapan pengiraan” yang menyebabkan perbezaan sebanyak 4.82 peratus, dan kesilapan itu telah diperbetulkan selepas “pengumpulan dan semakan silang berganda” ke atas semua helaian pengiraan undi fizikal dari seluruh kawasan pengundian dalam dan luar negara.
Menurut menteri itu, keputusan disatukan berkenaan akan diserahkan kepada Mahkamah Perlembagaan Peralihan untuk pengumuman keputusan muktamad dalam tempoh lapan hari.
Presiden yang dipilih akan mengangkat sumpah jawatan selepas keputusan muktamad diumumkan oleh mahkamah berkenaan. -BERNAMA-XINHUA