BAMAKO, 19 April – Bank dan stesen minyak di Mali yang sebelum ini mengadakan mogok telah menggantung tindakan tersebut pada Jumaat selepas mencapai persetujuan bersama kerajaan Junta, menurut kenyataan bersama antara kesatuan dan pihak kerajaan.
Kesatuan Kebangsaan Bank, Syarikat Insurans, Institusi Kewangan, Peruncit dan Stesen Minyak (Synabef) memulakan mogok pada Khamis sebagai langkah menuntut pembebasan tiga ahli kesatuan yang ditahan sebulan lalu serta bagi menuntut penambahbaikan terhadap syarat-syarat pekerjaan.
Negara Mali yang terletak di rantau Sahel telah berada di bawah pemerintahan tentera susulan rampasan kuasa yang berlaku pada tahun 2020 dan 2021.
Sejak 2012, negara itu turut berdepan krisis keselamatan yang berpanjangan.
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan lewat Jumaat oleh Synabef dan sebuah pejabat di bawah Pejabat Perdana Menteri, pihak terbabit mengumumkan penggantungan arahan mogok selepas satu pertemuan antara kepimpinan kesatuan dan delegasi kerajaan yang diketuai oleh Perdana Menteri, Abdoulaye Maiga.
“Kami telah mencapai persetujuan terhadap 15 tuntutan utama. Lembaga Synabef telah memutuskan untuk menggantung tindakan mogoknya,” menurut kenyataan tersebut tanpa memperincikan butiran lanjut.
Sementara itu, sumber kesatuan memberitahu AFP tiga ahli kesatuan yang ditahan dijangka akan dibebaskan pada hari Selasa atau selewat-lewatnya Rabu depan.-AFP