fb fb fb fb fb

AS umum undur sekitar 1,000 tentera dari Syria

Sean Parnell/AFP

WASHINGTON, 19 April- Amerika Syarikat (AS) akan mengurangkan kira-kira separuh jumlah tenteranya di Syria kepada kurang daripada 1,000 anggota dalam beberapa bulan akan datang, menurut kenyataan Pentagon pada Jumaat.

"Setiausaha Pertahanan hari ini mengarahkan penyusunan semula pasukan tentera AS di Syria ke lokasi-lokasi terpilih," kata jurucakap Pentagon, Sean Parnell dalam satu kenyataan tanpa mendedahkan lokasi berkenaan.

"Proses ini dijalankan secara berhati-hati berdasarkan keadaan semasa dan akan mengurangkan kehadiran tentera AS di Syria kepada kurang daripada 1,000 anggota dalam tempoh beberapa bulan akan datang," katanya.

Tambah Parnell, Komando Pusat AS (CENTCOM) akan terus bersedia melancarkan serangan terhadap baki kumpulan pengganas Daesh di Syria sepanjang proses pengunduran itu.

Presiden Donald Trump sebelum ini secara konsisten mempersoalkan kehadiran tentera AS di Syria dan pernah mengarahkan pengunduran pasukan semasa penggal pertamanya, namun sebahagian tentera kekal di negara itu. -AFP

SITI AISHAH MD ISA