BAITULMAQDIS, 21 Mac- Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, secara rasmi menamatkan khidmat Ketua Agensi Perisikan Dalam Negeri Israel, Shin Bet (ISA), Ronen Bar, berkuat kuasa Jumaat.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, keputusan itu dibuat selepas kabinet Israel sebulat suara meluluskan cadangan Netanyahu untuk menamatkan perkhidmatan Bar lebih awal daripada tempoh asal.
"Kerajaan sebulat suara meluluskan cadangan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk menamatkan perkhidmatan Ketua ISA, Ronen Bar," menurut kenyataan itu.
Bar, yang dilantik pada Oktober 2021 bagi tempoh lima tahun, sepatutnya hanya menamatkan perkhidmatannya pada tahun depan. Namun, hubungan tegang dengan Netanyahu, termasuk perbezaan pandangan mengenai reformasi kehakiman yang mencetuskan perpecahan dalam negara, dipercayai menjadi faktor utama pemecatannya.
Ketegangan semakin memuncak selepas laporan dalaman Shin Bet yang dikeluarkan pada 4 Mac lalu berkaitan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023. Laporan itu mengakui kegagalan agensi berkenaan dalam menghalang serangan dan menyebut dasar keterbukaan telah memberi ruang kepada Hamas untuk memperkukuh kekuatan ketenteraannya.
Bar sebelum ini telah memberi bayangan bahawa beliau bersedia meletakkan jawatan lebih awal sebagai tanda bertanggungjawab atas kegagalan agensinya dalam mencegah serangan itu.