fb fb fb fb fb

Taiwan umum kenaikan gaji anggota tentera

FOTO AFP

TAIPEI, 21 Mac- Taiwan akan menaikkan gaji bagi sebahagian anggota tenteranya bermula 1 April sebagai usaha menangani kekurangan tenaga kerja dalam pasukan pertahanan, kata pegawai pada Jumaat.

Langkah itu diambil ketika Taiwan berdepan tekanan ketenteraan yang semakin meningkat daripada China, yang menuntut pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan tidak menolak penggunaan kekerasan untuk menguasainya.

China kerap menghantar jet pejuang dan kapal perang di sekitar Taiwan serta telah mengadakan beberapa latihan ketenteraan besar sejak Presiden Lai Ching-te mengambil alih tampuk kepimpinan tahun lalu.

Ketika melawat sebuah kem tentera di ibu negara, Lai mengumumkan kenaikan elaun bulanan kepada anggota sukarelawan sebanyak NT$5,000, menjadikan jumlah elaun keseluruhan kepada NT$15,000. Bagi anggota unit tempur, elaun mereka akan meningkat lebih dua kali ganda sehingga NT$12,000.

"Marilah kita bersama-sama melindungi negara dan memastikan kehidupan harian kita kekal dalam kebebasan dan demokrasi," kata Lai kepada pegawai tentera dan anggota Marin.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan Taiwan menyatakan bahawa kenaikan gaji ini bukan sekadar langkah jangka pendek untuk menangani pengurangan anggota, tetapi juga pelaburan jangka panjang bagi menarik dan mengekalkan tenaga kerja mahir dalam pasukan tentera.

Menurut kementerian itu, jumlah anggota tentera sukarela pada Jun 2024 adalah 152,885 orang, angka terendah sejak 2018. Laporan media turut mendedahkan bahawa jumlah anggota yang menamatkan kontrak lebih awal hampir meningkat empat kali ganda sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2020, seramai 401 anggota tentera sukarela meninggalkan perkhidmatan sebelum tamat kontrak, tetapi jumlah itu meningkat kepada 1,565 orang pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Lai turut menggesa parti pembangkang untuk memberikan sokongan penuh kepada tentera dan mempertimbangkan semula keputusan membekukan atau memotong sebahagian bajet pertahanan negara.

Kerajaan Taiwan merancang untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada NT$647 bilion (RM92 bilion) pada 2025, bersamaan kira-kira 2.5 peratus daripada KDNK negara.

Bagaimanapun, beberapa peruntukan telah dibekukan oleh parlimen yang dikuasai pembangkang, termasuk pembekuan 50 peratus terhadap dana bagi projek pembinaan kapal selam dan taman industri dron.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE