JAKARTA, 21 Mac-Sekurang-kurangnya tujuh penerbangan antarabangsa dari pulau peranginan Bali, Indonesia, telah dibatalkan, kata seorang pegawai lapangan terbang pada Jumaat.
Ini selepas sebuah gunung berapi di bahagian timur negara kepulauan itu meletus dan menghamburkan abu gelap setinggi lapan kilometer ke udara.
Gunung Lewotobi Laki-Laki, sebuah gunung berkembar setinggi 1,703 meter (5,587 kaki) di pulau pelancongan Flores, meletus selama 11 minit dan sembilan saat pada lewat Khamis, menurut pihak berkuasa.
Susulan letusan itu, status amaran gunung berapi dinaikkan ke tahap tertinggi.
Sehingga pukul 9:45 pagi (Waktu Tempatan) pada Jumaat, tujuh penerbangan antarabangsa telah dibatalkan.
Enam daripadanya ialah penerbangan Jetstar ke Australia dan satu penerbangan AirAsia ke Kuala Lumpur," kata jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali, Andadina Dyah, dalam satu kenyataan.
Beberapa penerbangan lain, termasuk penerbangan domestik dan antarabangsa ke Thailand, Singapura, dan Australia turut mengalami kelewatan, tambah kenyataan berkenaan.
Tiada laporan kerosakan di kampung-kampung berdekatan, tetapi pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk mengenai potensi aliran lumpur gunung berapi akibat hujan lebat.
Letusan yang berpanjangan itu menyebabkan Agensi Geologi Indonesia menaikkan tahap amaran gunung berapi ke peringkat tertinggi dalam empat tahap.
Pihak berkuasa turut mengenakan zon larangan sejauh tujuh hingga lapan kilometer (empat hingga lima batu) di sekitar gunung berapi, tambah agensi tersebut.
November lepas, Gunung Lewotobi Laki-Laki meletus beberapa kali, menyebabkan sembilan orang terkorban, menyebabkan pembatalan penerbangan antarabangsa ke Bali, dan memaksa ribuan penduduk berpindah ke kawasan yang lebih selamat.
Gunung berapi berkenaan dinamakan "Laki-Laki", yang bermaksud "lelaki" dalam bahasa Indonesia, dan berkembar dengan gunung berapi yang lebih tenang yang dinamakan sempena perkataan Indonesia untuk "wanita".
Indonesia, sebuah negara kepulauan sering mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi kerana kedudukannya yang terletak di Lingkaran Gunung Berapi Pasifik.-AFP.