fb fb fb fb fb

Kehilangan air glasier capai tahap tertinggi sejak 1979-PBB

Ais kelihatan di glasier Pastoruri di Andes Peru, Peru, pada 7 Mei 2024. Perubahan iklim turut mempengaruhi lokasi dan cara sukan musim sejuk dijalankan. Dahulu, glasier Pastoruri di Peru menjadi tuan rumah pertandingan ski. Kini, ia adalah sebuah glasier yang hampir pupus, dengan medan ais yang masih tinggal dipagari kerana risiko runtuhan ais. / Foto REUTERS

NEW YORK, 21 Mac-Glasier di seluruh dunia semakin lenyap dengan lebih pantas berbanding sebelum ini dalam tempoh tiga tahun terakhir, menurut laporan UNESCO yang dikeluarkan pada Jumaat.

Sejak tahun 1975, sebanyak 9,000 gigaton ais telah hilang dari glasier, yang setara dengan "sebuah blok ais sebesar Jerman dengan ketebalan 25 meter," kata Michael Zemp, pengarah Perkhidmatan Pemantauan Gletser Dunia yang berpangkalan di Switzerland, dalam satu sidang media di ibu pejabat PBB di Geneva.

Kehilangan ais yang dramatik iaitu dari Artik hingga ke Alps, dan dari Amerika Selatan hingga ke Dataran Tinggi Tibet dijangka semakin meningkat kerana perubahan iklim yang disebabkan oleh pembakaran bahan api fosil terus meningkatkan suhu global.

Keadaan tersebut berpotensi memburukkan lagi masalah ekonomi, alam sekitar, dan sosial di seluruh dunia akibat kenaikan paras laut dan penyusutan sumber air utama.

Zemp menjelaskan lima daripada enam tahun terakhir mencatatkan kehilangan jisim terbesar, dengan glasier kehilangan 450 gigaton hanya pada tahun 2024.

Kehilangan ais yang semakin kerap menjadikan glasier gunung sebagai penyumbang utama kepada kenaikan paras laut yang berisiko menyebabkan banjir besar dan mengganggu laluan air yang menjadi sumber kepada berbilion orang untuk tenaga hidroelektrik dan pertanian.

Pengarah air dan kriosfera di Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), Stefan Uhlenbrook berkata bahawa terdapat kira-kira 275,000 glasier di dunia yang, bersama-sama dengan lembaran ais Antartika dan Greenland, membentuk kira-kira 70% air tawar dunia.

"Kita perlu meningkatkan pengetahuan saintifik kita, memperbaiki sistem pemantauan, ramalan yang lebih baik, dan sistem amaran awal yang lebih cekap untuk melindungi planet dan manusia," kata Uhlenbrook.

Antara tahun 2000 dan 2023, pencairan glasier gunung telah menyebabkan kenaikan paras laut global sebanyak 18 milimeter, kira-kira 1 mm setiap tahun.

Setiap milimeter kenaikan boleh menyebabkan sehingga 300,000 orang terdedah kepada banjir tahunan, menurut Perkhidmatan Pemantauan Glasier Dunia.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD