LOS ANGELES, 20 Mac-Ketua bola sepak CONCACAF, Victor Montagliani, meredakan kebimbangan mengenai tindakan tegas di sempadan Amerika Syarikat yang mungkin menjejaskan Piala Dunia 2026.
Ini susulan beberapa yang menyaksikan pelawat asing ditahan atau dihantar pulang selepas cuba memasuki AS.
Montagliani, yang merupakan Presiden Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF), memberitahu AFP bahawa beliau yakin sebarang isu berkaitan dasar sempadan AS akan diselesaikan sebelum kejohanan itu bermula.
Piala Dunia 2026 akan dihoskan bersama oleh AS, Kanada dan Mexico.
Beliau mengakui bahawa kebimbangan terhadap insiden baru-baru ini melibatkan pelawat dari negara seperti Perancis, Jerman dan Britain merupakan sesuatu yang wajar.
Namun, ketua CONCACAF yang juga ahli Majlis FIFA itu menegaskan bahawa sebarang isu akan diselesaikan dengan pentadbiran Presiden Donald Trump sebelum ketibaan pelawat di Amerika Utara untuk Piala Dunia dalam tempoh 16 bulan.
“Perkara ini biasa. Ketika Piala Dunia di Qatar, saya juga menerima panggilan daripada rakan-rakan yang bimbang untuk pergi ke sana atas pelbagai sebab. Namun, semuanya berjalan lancar,” kata Montagliani kepada AFP semasa persidangan perniagaan sukan di sini.
“Saya yakin apabila tiba masanya, sama ada untuk pasukan yang bertanding atau penyokong mereka, akan ada kaedah tertentu untuk menyelesaikan perkara ini. Masa berpihak kepada kita.
Saya memahami dasar pentadbiran AS, tetapi saya yakin 16 bulan dari sekarang semuanya akan baik-baik sahaja", katanya.
“Sebagai pemimpin dalam dunia bola sepak, tugas kami adalah berurusan dengan mana-mana pentadbiran. Tidak kira di mana kejohanan diadakan, kami perlu menanganinya,” jelas Montagliani kepada wartawan.-AFP.