BRUSSELS, 18 Jun - Penyertaan Ukraine sebagai anggota Kesatuan Eropah (EU) mungkin tinggal impian kerana proses itu akan memakan masa beberapa dekad untuk disempurnakan, kata seorang pakar dan bekas ahli politik Belgium kepada Sputnik.
Suruhanjaya Eropah pada Jumaat mengesyorkan Ukraine diberi status calon anggota EU.
Pesuruhjaya EU berkata Ukraine masih perlu memenuhi satu set kriteria ketat sebelum rundingan keahlian dibuat.
Tiada garis masa ditetapkan untuk menyertai kesatuan itu dan ahli EU boleh mengenakan veto pada bila-bila masa.
(FOTO BERNAMA)
"Menjadi calon rasmi tidak bermakna ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya 15 tahun. Jadi, semua yang dilakukan oleh pemimpin Eropah dalam lawatan kerja mereka ke Kiev baru-baru ini hanya membawa impian kepada (Presiden Ukraine Volodymyr) Zelenskyy dan Ukraine, " kata Mischael Modrikamen.
Modrikamen, seorang peguam dan bekas pemimpin Parti Rakyat sayap kanan Belgium, mendakwa ruang menunggu keanggotaan EU sudah penuh dengan pencalonan Turkiye dan negara-negara Eropah yang lebih miskin Albania, Macedonia Utara, Montenegro, Serbia, dan kini Ukraine , Georgia dan Moldova.
Turkiye telah menjadi calon rasmi sejak tahun 1999 dan telah menunggu sejak 35 tahun lepas untuk bergabung dengan Kesatuan Eropah. - BERNAMA