fb fb fb fb fb

Han Duck-soo umum sertai pilihan raya presiden Korea Selatan

Pemangku Presiden Korea Selatan, Han Duck-soo/Reuters

SEOUL, 2 Mei- Bekas Perdana Menteri Korea Selatan, Han Duck-soo mengumumkan pencalonannya dalam pilihan raya presiden yang akan berlangsung secara tergempar pada 3 Jun ini.

Pengumuman tersebut dibuat sehari selepas beliau melepaskan jawatan pemangku presiden, dengan harapan dapat memanfaatkan populariti yang diraih sepanjang tempoh singkatnya menerajui kepimpinan negara.

"Saya telah berjaya memimpin banyak rundingan perdagangan sepanjang kerjaya saya. Saya yang paling berpengalaman dan paling bersedia untuk tugasan ini.

Saya berhubung rapat bukan sahaja dengan kerajaan AS tetapi juga dengan pakar dari pelbagai sektor. Saya akan memastikan untuk menyelesaikan isu perdagangan semasa," kata Han Duck-soo.

Menurut tinjauan Gallup Korea pada 25 April lalu, calon dari parti pembangkang, Lee Jae-myung, mendahului saingan dengan sokongan 38%.

Bekas ketua Parti Kuasa Rakyat (PPP) Han Dong-hoon memperoleh 8% manakala Han Duck-soo berada di kedudukan ketiga dengan 6% sokongan.

Mengikut perlembagaan, jawatan pemangku presiden sepatutnya disandang oleh Menteri Kewangan, Choi Sang-mok.

Namun, beliau mengejutkan negara apabila mengumumkan peletakan jawatan hanya beberapa minit sebelum tengah malam Khamis.

Susulan itu, Menteri Pendidikan, Lee Ju-ho dilantik sebagai pemangku presiden, sekali gus memikul tanggungjawab mengemudi ekonomi keempat terbesar Asia itu ketika negara masih bergelut dengan krisis politik.

Situasi politik di Korea Selatan menjadi huru-hara susulan bekas Presiden Yoon Suk Yeol mengumumkan pengisytiharan darurat tentera selain kesan tarif besar-besaran yang dikenakan oleh AS.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM