BAITULMAQDIS, 13 Oktober -Hamas telah menyerahkan tujuh daripada 20 tebusan Israel yang masih hidup kepada wakil Palang Merah di Bandar Gaza.
Penyerahan itu menandakan permulaan pelaksanaan perjanjian pertukaran tahanan yang dipersetujui antara Israel dan Hamas.
Tidak lama selepas penyerahan tebusan itu, wakil pihak tentera dan keselamatan rejim Israel telah mengesahkan perkara itu menerusi status di media sosial.
"Kami telah menanti selama 738 hari untuk menyatakan perkara ini, "Selamat Pulang" tulis kementerian luar Israel menerusi laman X. Tahanan yang dibebaskan dikenali sebagai Guy Gilboa Dalal, Eitan Mor, Matan Angrest, Alon Ohel, Gali & Ziv Berman dan Omri Miran.
Sementara itu, di Tel Aviv, orang ramai yang berhimpun bersorak gembira sebaik menerima laporan tersebut, memetik sumber keselamatan Israel.
Terdahulu sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam, pada Isnin telah mengeluarkan senarai 20 tebusan yang masih hidup dan dijangka akan dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian yang dicapai dengan Israel.
Senarai tersebut merupakan sebahagian daripada 48 individu yang ditawan termasuk yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia. -AFP