KAHERAH, 18 April – Kumpulan pejuang Palestin, Hamas, menyatakan kesediaan untuk mencapai satu perjanjian menyeluruh bagi menamatkan perang di Gaza dan menukar semua baki tebusan Israel dengan tahanan Palestin yang kini dipenjarakan di Israel.
Pendekatan itu sekali gus menolak tawaran gencatan senjata sementara yang dikemukakan oleh Israel.
Ketua Hamas di Gaza merangkap ketua pasukan perunding kumpulan itu, Khalil Al-Hayya, dalam satu ucapan yang disiarkan secara langsung berkata, pihaknya tidak lagi akan menerima sebarang perjanjian bersifat sementara.
Kenyataan itu dijangka tidak akan diterima oleh pihak Israel dan berkemungkinan akan menyebabkan lanjutan kepada konflik bersenjata yang semakin sengit sejak beberapa minggu lalu.
Menurut Hayya, Hamas bersedia untuk segera menyertai “rundingan pakej menyeluruh” yang merangkumi pembebasan semua baki tebusan, penamatan perang di Gaza, pembebasan tahanan Palestin serta pelaksanaan semula proses pembinaan semula wilayah itu.
“Netanyahu dan kerajaannya hanya menggunakan perjanjian separa sebagai alat untuk melindungi agenda politik mereka – meneruskan perang pemusnahan dan kelaparan, walaupun dengan risiko mengorbankan tebusan mereka sendiri,” katanya, merujuk kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
“Kami tidak akan menjadi sebahagian daripada dasar itu,” tegas Hayya.
Sementara itu, perantara dari Mesir terus berusaha menghidupkan semula gencatan senjata yang dimeterai pada Januari lalu, namun sehingga kini tiada tanda kemajuan dengan kedua-dua pihak saling menuding jari.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat, James Hewitt, pula menyatakan bahawa kenyataan Hamas menunjukkan kumpulan itu tidak berminat kepada perdamaian.
“Syarat yang ditetapkan oleh pentadbiran Trump kekal: bebaskan tebusan atau berdepan dengan neraka,” katanya.
Rundingan terbaharu yang berlangsung di Kaherah pada Isnin lalu turut berakhir tanpa sebarang kemajuan ketara, menurut sumber Palestin dan Mesir.
Israel sebelum ini mencadangkan satu tempoh gencatan senjata selama 45 hari bagi membolehkan pembebasan tebusan serta membuka ruang kepada rundingan tidak langsung untuk menamatkan konflik.
Namun, Hamas menolak syarat Israel yang menghendaki kumpulan itu meletakkan senjata.
Dalam ucapannya, Hayya menyifatkan cadangan balas Israel sebagai sesuatu yang “mustahil” untuk dipenuhi.
Terdahulu, Hamas telah membebaskan 38 tebusan ketika gencatan senjata yang bermula pada 19 Januari.
Namun, tentera Israel kembali melancarkan serangan darat dan udara pada Mac selepas Hamas menolak pelanjutan gencatan senjata tanpa jaminan penamatan perang.
Pihak Israel bertegas akan meneruskan operasi ketenteraan sehingga baki 59 tebusan dibebaskan dan Gaza dinyahmiliter.
Hamas pula mengekalkan pendirian bahawa pembebasan tebusan hanya akan berlaku menerusi perjanjian menyeluruh yang menamatkan perang dan tidak menerima syarat untuk melucutkan senjata.-REUTERS