fb fb fb fb fb

Tragedi kereta kabel: Empat maut, satu cedera di selatan Itali

Foto theguardian.com

NAPLES, 18 April – Empat orang dilaporkan maut manakala seorang lagi cedera dalam satu insiden kereta kabel terjatuh berhampiran bandar pesisir Castellammare di Stabia, selatan Itali, pada Khamis.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba Itali, kejadian berlaku apabila kabel yang menghubungkan laluan dari Castellammare di Stabia ke Gunung Faito, kira-kira tiga kilometer jauhnya, putus secara tiba-tiba.

“Empat mayat telah ditemui di lokasi kejadian, manakala seorang mangsa cedera telah diselamatkan dan dihantar ke hospital,” menurut kenyataan yang dimuat naik di platform Telegram rasmi jabatan itu.

Lebih 50 anggota bomba terlibat dalam operasi menyelamat yang mencabar, terutamanya berikutan keadaan berkabus yang menyulitkan akses ke salah sebuah kabin yang tergantung di atas cerun curam Gunung Faito.

Sebuah kabin lain yang membawa 16 penumpang berhampiran stesen bawah telah berjaya diturunkan ke tanah dengan selamat, menurut laporan media tempatan.

Difahamkan, perkhidmatan kereta kabel berkenaan baru sahaja memulakan semula operasi untuk musim panas 10 hari lalu.

Ketua syarikat pengendali kereta kabel itu, Umberto de Gregorio, menegaskan semua prosedur keselamatan telah dipatuhi sebelum pembukaan semula.

“Apa yang berlaku hari ini merupakan satu tragedi yang tidak dapat dibayangkan mahupun dijangka,” ujar beliau kepada media.

Susulan insiden tersebut, pihak pendakwa raya telah melancarkan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Sementara itu, pejabat Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, dalam satu kenyataan memaklumkan beliau yang kini berada di Washington, menyampaikan ucapan takziah yang tulus ikhlas kepada keluarga mangsa.

Kereta kabel itu telah beroperasi sejak tahun 1952 dan pernah terlibat dalam tragedi serupa pada tahun 1960 yang turut mengorbankan empat nyawa.

Dalam insiden berasingan pada Mei 2021, seramai 14 orang terbunuh apabila sebuah kereta kabel terhempas di kawasan pergunungan Alps berhampiran Tasik Maggiore.

Manakala pada tahun 1998, 20 orang maut apabila kabel keluli terputus akibat perlanggaran dengan jet pejuang Amerika Syarikat yang sedang menjalani latihan penerbangan rendah di Dolomites.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN