fb fb fb fb fb

Gaza masih kekurangan bekalan makanan - WFP

Penduduk Gaza yang kelaparan berebut-rebut mendapatkan makanan / Foto REUTERS

KHAN YOUNIS, 22 November - Gaza masih berdepan kekurangan bekalan makanan meskipun lebih banyak bekalan mula memasuki wilayah terkepung itu, dengan hujan pada musim sejuk berisiko merosakkan bekalan makanan.

"Keadaan lebih baik berbanding sebelum gencatan senjata. Namun masih banyak yang perlu dilakukan. Mengekalkan sokongan amat penting untuk membantu keluarga Palestin memulihkan semula kesihatan, nutrisi dan kehidupan mereka, " kata jurucakap Program Makanan Sedunia (WFP), Martin Penner dalam taklimat media di Geneva menerusi pautan video dari Gaza.

Ratusan ribu penduduk amat memerlukan bantuan makanan segera, menurut WFP.

Pada Ogos, sebuah badan pemantau makanan global mendedahkan, sekurang-kurangnya 500,000 penduduk berdepan kebuluran di Gaza.

"Awal minggu ini, wilayah Palestin itu berdepan hujan lebat yang merosakkan dan menghanyutkan bekalan makanan yang disimpan penduduk, " kata jurucakap kanan WFP, Abeer Etefa.

"Ia merupakan isyarat menunjukkan apa yang bakal dihadapi keluarga Palestin dalam beberapa minggu akan datang selepas musim sejuk bermula," tambahnya.

Sejak gencatan senjata dikuatkuasakan pada 10 Oktober lepas, WFP telah membawa masuk 40,000 tan bantuan makanan ke dalam Gaza.

Bagaimanapun, ia hanya mampu memenuhi 30% sasaran penghantaran makanan untuk kira-kira 530,000 penduduk daripada 1.6 juta penduduk yang memerlukan, ekoran isu mendapatkan bekalan ke Gaza yag dihadapi pada awal bulan lepas.

Walaupun pasaran mula kembali pulih, harga makanan masih tinggi bagi rakyat Palestin ekoran ramai yang kehilangan sumber pendapatan sepanjang peperangan, dengan seekor ayam mencecah harga $25 Dolar menyebabkan banyak keluarga bergantung pada bantuan makanan, menurut WFP.

Malah, seorang wanita di Khan Younis memberitahu WFP bahawa dia tidak membawa anak-anaknya ke pasar supaya mereka tidak melihat makanan yang dijual kerana mereka tidak mampu beli.

“Jika mereka menghampiri pasar, dia menyuruh mereka menutup mata,” kata Penner.

Bercakap pada taklimat media yang sama, jurucakap UNICEF, Ricardo Pires mendedahkan, sekurang-kurangnya 67 kanak-kanak telah terbunuh sejak gencatan senjata bermula di Gaza.

“Berpuluh-puluh lagi cedera. Secara purata hampir dua kanak-kanak terbunuh setiap hari sejak gencatan senjata berkuat kuasa,” tambahnya. - AFP

EMMI NORALIZA ADNAN