COLOMBIA, 22 November - Penyelidik di Colombia mendedahkan penemuan fosil seekor kura-kura yang hidup kira-kira 13 juta tahun lalu di Gurun Tatacoa, dengan spesies baharu itu dinamakan Shakiremys Colombiana.
Menurut Pengarah Muzium Tatacoa Andres Felipe Vanegas, nama tersebut dipilih sebagai penghormatan kepada penyanyi Colombia, Shakira.
"Kura-kura ini dinamakan Shakiremys kerana, pertama, dia (penyelidik) peminat Shakira; dan kedua, Shakira ialah penyanyi dan penulis lagu Colombia yang terkenal di peringkat antarabangsa serta banyak menyokong usaha pendidikan melalui yayasan Pies Descalzos. Jadi seperti Shakira sangat istimewa, seperti juga penemuan fosil kura-kura ini," katanya.
Fosil tersebut, yang ditemui penduduk tempatan di Huila sebelum dianalisis oleh saintis, merangkumi tengkorak dan tempurung lengkap yang menunjukkan ciri evolusi unik.
"Kami mengenal pasti bahawa tempurung kura-kura ini mempunyai morfologi yang sangat istimewa untuk menyesuaikan diri dengan apa jua jenis arus.
"Kami juga menemui tengkoraknya dan dapat melakukan imbasan CT, yang membolehkan kami melihat sebahagian otak dan telinganya, sekali gus membantu kami memahami bahawa ia mempunyai gabungan ciri-ciri unik dalam kumpulan kura-kura tersebut," katanya.
Fosil itu ditemukan di La Victoria, salah satu tapak paleontologi terbesar di dunia, yang menawarkan gambaran kehidupan pada zaman Miosen ketika kawasan tersebut merupakan rangkaian tasik dan sungai.- REUTERS