WASHINGTON, 22 November - Rakaman komander misi SpaceX Crew-11 NASA, Angkasawan Zena Cardman yang disiarkan pada Isnin lalu, memaparkan fenomena aurora borealis, atau Cahaya Utara, di Hemisfera Utara menakjubkan dapat dilihat dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Mengulas mengenai fenomena itu, Cardman berkata aurora merupakan pemandangan yang kerap dilihat dari Stesen Angkasa Antarabangsa namun paparan minggu lalu disifatkan sebagai antara yang paling menakjubkan.
Menerusi rakaman itu, ia turut memaparkan beberapa lokasi yang mengalami aurora secara serentak.
"Cuba lihat sama ada anda dapat mengesan Houston, Florida dan cahaya utara dalam satu rakaman sebelum kami bergerak merentasi Teluk serta ribut kilat yang hebat di Amerika Selatan ketika matahari terbit," katanya.
Fenomena cahaya itu dikenali sebagai aurora borealis, atau Cahaya Utara, di Hemisfera Utara, dan aurora australis, atau Cahaya Selatan, di Hemisfera Selatan. Ia berlaku berhampiran kutub kerana medan magnet bumi menyalurkan zarah bercas daripada Matahari ke kawasan tersebut, lalu berlanggar dengan atmosfera dan menghasilkan tirai cahaya berwarna-warni.
Fenomena aurora muncul lebih kerap kebelakangan ini kerana Matahari berada pada kemuncak kitaran aktiviti 11 tahun, dikenali sebagai solar maksimum, apabila kutub magnetiknya berubah dan aktiviti suria meningkat.
Kemuncak kitaran semasa bermula sekitar tahun lalu dan dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini, sekali gus menawarkan lebih banyak paparan aurora yang terang dan kerap.- REUTERS