fb fb fb fb fb

Peru keluar waran tangkap antarabangsa ke atas Betssy Chavez

Foto AFP

LIMA, 22 November - Mahkamah Peru mengeluarkan waran tangkap antarabangsa ke atas bekas Perdana Menteri, Betssy Chavez yang kini berlindung di kedutaan Mexico di Lima sementara menunggu perbicaraan terhadapnya atas tuduhan terbabit dalam cubaan rampasan kuasa pada 2022.

Chavez, 36, berkhidmat sebagai Perdana Menteri bawah Presiden Pedro Castillo yang digulingkan pada Disember 2022 kerana cuba membubarkan Kongres - tindakan yang dikategorikan sebagai cubaan coup d'etat.

Hubungan antara Lima dengan Mexico merosot dengan ketara selepas penyingkiran Castillo yang juga seorang bekas guru sekolah luar bandar dan ahli kesatuan pekerja yang digelar sebagai “Presiden Miskin Pertama” Peru.

Pada Disember 2022, Castillo dalam perjalanan ke kedutaan Mexico di Lima untuk memohon suaka bersama keluarganya apabila beliau ditangkap dan didakwa atas pertuduhan melakukan pemberontakan dan penyalahgunaan kuasa.

Mexico memberi suaka kepada isteri dan anak-anaknya.

Chavez turut didakwa bersama Castillo, dan kedua-duanya dibicarakan pada Mac.

Walaupun Castillo dikenakan perintahan tahanan pencegahan sejak pemecatannya, Chavez dibebaskan dengan ikat jamin.

Beliau diberikan suaka awal bulan ini sementara pihak berkuasa menilai permintaan untuk mendapatkan laluan selamat ke Mexico.

Peru memutuskan hubungan diplomatik dengan Mexico, dengan mengatakan bahawa pemberian suaka kepada Chavez merupakan campur tangan dalam urusan dalaman negara itu.

Kedua-dua negara memanggil pulang duta masing-masing.

Pihak pendakwa raya menuntut hukuman penjara 25 tahun terhadap Chavez kerana didakwa terlibat dalam plot bersama Castillo.

Bagi Castillo, mereka menuntut hukuman 34 tahun.

Keputusan mahkamah pada Jumaat itu juga memerintahkan penahanan praperbicaraan selama lima bulan terhadap Chavez selepas penangkapannya, dengan alasan bahawa beliau berisiko melarikan diri.

Selepas waran dikeluarkan, polis memperketat kawalan keselamatan di sekitar kedutaan Mexico di Lima.

Ketua Polis Negara, Oscar Arriola, menolak kemungkinan sebarang pencerobohan, memberitahu media bahawa “kami menghormati hak untuk suaka atau perlindungan. Kami mematuhi norma yang ditetapkan dalam piawaian antarabangsa.”

Perdana Menteri Ernesto Alvarez juga menegaskan bahawa Peru “menghormati undang-undang antarabangsa dan tidak boleh menggunakan kekerasan.. Apatah lagi melanggar undang-undang antarabangsa mengenai kekebalan di premis diplomatik.” - AFP

EMMI NORALIZA ADNAN