fb fb fb fb fb

Angka korban banjir di Vietnam meningkat kepada 55

Penyelamat masih bergelut mencari mangsa yang hilang dalam banjir di Vietnam / Foto AFP

HANOI, 22 November - Angka kematian akibat banjir di Vietnam meningkat kepada sekurang-kurangnya 55 orang ketika pasukan penyelamat bergelut mencari 13 mangsa yang masih hilang.

Hujan lebat berterusan telah melanda tengah Vietnam sejak penghujung Oktober, manakala beberapa destinasi percutian popular turut dilanda banjir beberapa kali.

Beberapa blok bandar di kawasan pantai Nha Trang, telah ditenggelami air minggu ini, manakala tanah runtuh yang berlaku di laluan pergunungan sekitar hab pelancongan Da Lat turut meragut nyawa.

"Sekurang-kurangnya 55 orang maut di enam wilayah sejak Ahad lepas, manakala pencarian untuk mangsa yang hilang masih diteruskan, " menurut kenyataan Kementerian Alam Sekitar yang dikeluarkan pada Sabtu.

"Wilayah pergunungan Dak Lak paling teruk terjejas, dengan lebih 12 orang masih hilang."

Media rasmi negara pula melaporkan, pasukan penyelamat masih berusaha memindahkan penduduk terjejas yang menyelamatkan diri dengan memanjat pokok dan bumbung rumah ketika banjir mula surut pada Jumaat.

"Beberapa lebuh raya masih tidak dapat dilalui hingga hari ini dan 300,000 orang masih mengalami gangguan bekalan elektrik, " tambah Kementerian Alam Sekitar.

Sementara itu, Pejabat Statistik Negara memaklumkan, bencana alam telah menyebabkan 279 orang maut atau hilang di Vietnam serta mengakibatkan nilai kerosakan lebih $2 bilion Dolar antara Januari hingga Oktober. - AFP

EMMI NORALIZA ADNAN