WASHINGTON, 22 November - Ukraine diberi tempoh akhir hingga 27 November untuk menerima pelan damai yang dicadangkan bagi menamatkan perang dengan Rusia.
“Saya telah menetapkan banyak tarikh akhir, tetapi jika semua berjalan lancar, kita bersedia melanjutkan tarikh akhir tersebut. Tetapi Khamis (27 November) menurut kami, masa yang sesuai,” kata Trump dalam satu temu bual dengan Fox Radio apabila ditanya sama ada beliau telah memberi Ukraine hingga Khamis depan untuk bersetuju dengan pelan 28 perkara bagi menghentikan konflik itu.
Bawah rancangan tersebut, Ukraine perlu melepaskan sebahagian wilayah di timur kepada Rusia dan mengurangkan saiz tenteranya, menurut satu draf yang diperoleh AFP.
Kyiv juga perlu berikrar untuk tidak menyertai NATO, dan tidak akan menerima pasukan pengaman Barat seperti yang diminta walaupun pesawat pejuang Eropah akan ditempatkan di Poland untuk melindungi Ukraine.
Menurut Trump, jika pertempuran terus berlanjutan, Ukraine akhirnya tetap akan kehilangan wilayah yang perlu diserahkan kepada Rusia sekiranya pelan itu disahkan.
Trump bagaimanapun memuji semangat juang pasukan Ukraine yang berjuang menentang Rusia.
“Katakan apa sahaja yang anda mahu, mereka sangat berani,” katanya.
Ditanya tentang kemungkinan Rusia menyerang negara lain di Eropah selepas ia menyerang Ukraine pada Februari 2022, pemimpin Republikan itu berkata, Presiden Rusia, Vladimir Putin “tidak mahukan banyak peperangan."
Trump juga menyatakan bahawa Putin sedang “menerima hukuman” kerana konflik itu berlarutan hampir empat tahun sekarang sedangkan ia “sepatutnya menjadi peperangan satu hari sahaja.”
Pada Jumaat, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menolak pelan damai Amerika dengan mengatakan beliau tidak akan “mengkhianati” negaranya berhubung dokumen 28 perkara yang dilihat di Kyiv sebagai sangat memihak kepada Kremlin.
Bagaimanapun, White House memberi jaminan bahawa mereka telah membincangkan pelan damai itu secara seimbang dengan Kyiv dan Moscow. - AFP