MORELIA, 22 November - Tujuh pengawal peribadi seorang Datuk Bandar di Mexico yang maut dibunuh pada 1 November lepas, telah ditahan sebagai suspek.
Pejabat pendakwa raya negeri Michoacan mengesahkan, kesemua pengawal itu merupakan anggota polis yang masih lagi berkhidmat.
Mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung "kemungkinan pembabitan dalam kes jenayah pembunuhan" ahli politik tersebut.
Carlos Manzo, Datuk Bandar Uruapan ditembak mati suspek berusia 17 tahun di hadapan keluarganya dalam satu acara bagi memperingati Hari Kematian di Mexico yang disambut pada 1 dan 2 November.
Suspek kemudiannya ditembak mati oleh pengawal Manzo.
Pembunuhan pemimpin berpengaruh itu membangkitkan kemarahan dan kejutan hinga mencetuskan protes antikerajaan dan membawa kepada penempatan pasukan persekutuan di Michoacan, sebuah negeri di barat Mexico.
Manzo, 40, telah meraih populariti sebagai seorang pejuang menentang jenayah terancang di negeri yang bergolak itu.
Beliau telah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Uruapan selama lebih setahun, dan berkempen untuk memerangi kartel dadah terkenal Mexico.
Sehingga penahanan mereka, tujuh pengawal itu masih aktif, ditugaskan untuk melindungi balu Manzo, Grecia Quiroz, yang telah dilantik oleh Kongres negeri untuk menggantikan beliau sebagai Datuk Bandar Uruapan, menurut pihak berkuasa.
Pada Rabu lalu, pihak berkuasa persekutuan mengumumkan penahanan Jorge Armando "N," yang juga dikenali sebagai “El Licenciado,” dan menamakan dia sebagai salah seorang dalang dalam pembunuhan Manzo.
Media tempatan memetik Sekretariat Keselamatan Persekutuan sebagai berkata, “El Licenciado” ialah ketua sebuah organisasi jenayah, dipercayai kartel berpengaruh Jalisco New Generation.
Pihak berkuasa tempatan dan persekutuan telah menyatakan bahawa jenayah terancang berkemungkinan menjadi dalang pembunuhan itu.
Sabtu lalu, rakyat berarak di ibu negara, Mexico City, dalam satu protes besar yang didominasi Generasi Z untuk mengecam pembunuhan Manzo. Lebih 100 orang cedera dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis, dan 19 telah ditahan. - AFP