fb fb fb fb fb

Colombia lakukan rampasan kokain terbesar dalam tempoh sedekad

Foto AFP

BOGOTA, 22 November - Colombia melakukan rampasan kokain terbesar dalam tempoh sedekad melibatkan sejumlah 14 tan dadah dirampas di pelabuhan utama negara itu, di tengah-tengah ketegangan dengan Washington yang melabelkan dasar antidadah Bogota sebagai tidak berkesan.

Rampasan dadah di negara pengeluar terbesar kokain di dunia itu dilakukan ketika Amerika Syarikat mengancam mengenakan sekatan kewangan ke atas Presiden Gustabo Petro dan mengeluarkan Colombia daripada senarai sekutunya dalam memerangi dadah.

"Kokain itu yang disimpan dalam berpuluh-puluh guni seberat 50 kilogram di dalam sebuah gudang, telah disembunyikan dalam campuran bersama plaster, " menurut hantaran Kementerian Pertahanan di akaun X.

"Ia merupakan rampasan terbesar oleh polis Colombia dalam tempoh 10 tahun, " kata Petro yang penggal pemerintahannya akan berakhir dalam tempoh sembilan bulan.

Operasi yang dijalankan tanpa membabitkan sebarang kemalangan jiwa itu menurut Petro dilakukan di pelabuhan Buenaventura, lokasi strategik untuk penghantaran kokain dari Colombia.

Petro yang mengkritik keras strategi antidadah Presiden AS, Donald Trump turut mengutuk “pembunuhan di luar proses undang-undang” susulan tindakan Trump memberi "lampu hijau" kepada tindakan pengeboman terhadap bot yang disyaki membawa dadah di Laut Caribbean dan Pasifik.

Colombia kerap memecahkan rekod tahunannya sendiri bagi penanaman daun koka dan pengeluaran serbuk kokain.

"Negara itu mempunyai kira-kira 253,000 hektar kawasan penanaman dadah dan menghasilkan sekurang-kurangnya 2,600 tan kokain, " menurut data Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi tahun 2023.

Petro menganggap sekatan Trump sebagai tidak adil dan mendakwa telah membuat sejumlah rampasan besar bawah pemerintahannya. - AFP

EMMI NORALIZA ADNAN