WASHINGTON, 18 April – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan semua pemohon visa yang pernah berada di Semenanjung Gaza pada atau selepas 1 Januari 2007 disaring melalui semakan media sosial, menurut satu mesej rasmi dalaman Jabatan Negara yang diperoleh Reuters.
Langkah itu melibatkan semua kategori visa, termasuk pekerja NGO dan individu dalam kapasiti rasmi atau diplomatik sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan keselamatan terhadap pelawat asing.
Jika semakan media sosial mengesan maklumat mencurigakan berkaitan keselamatan, satu Pendapat Penasihat Keselamatan (SAO) perlu dikemukakan. Arahan tersebut telah dihantar ke semua pejabat diplomatik dan konsular AS di seluruh dunia.
Mesej rasmi bertarikh 17 April itu ditandatangani oleh Setiausaha Negara, Marco Rubio, yang sebelum ini menyatakan lebih 300 visa telah dibatalkan menjelang akhir Mac, selaras dengan Akta Imigresen 1952.
Jurucakap Jabatan Negara menegaskan saringan keselamatan terhadap pemohon visa dijalankan secara menyeluruh dan berterusan sepanjang tempoh visa berkuat kuasa.
Beberapa pegawai turut memaklumkan pemegang visa pelajar boleh diusir jika didapati menyokong rakyat Palestin atau mengkritik Israel dalam konflik Gaza, yang disifatkan sebagai ancaman kepada dasar luar AS.
Langkah tersebut bagaimanapun mencetus kritikan terhadap pentadbiran Trump, yang didakwa mencabuli kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan AS.
Antara kes berprofil tinggi yang mencuri tumpuan ialah penahanan pelajar Universiti Tufts dari Turki, Rumeysa Ozturk, oleh ejen bertopeng, yang dirakam dalam video tular bulan lalu.
Mengulas isu itu, Rubio berkata: “Setiap kali saya temui individu fanatik seperti ini, saya akan batalkan visa mereka,” sambil memberi amaran bahawa lebih ramai akan dikenakan tindakan serupa.-REUTERS