fb fb fb fb fb

Hamas capai persetujuan pembebasan tahanan Palestin dan Israel

Pemandangan dari dron menunjukkan rakyat Palestin dan kumpulan Hamas berkumpul di sekitar kenderaan Palang Merah pada hari pembebasan Eliya Cohen, Omer Shem Tov, dan Omer Wenkert, tebusan yang ditahan di Gaza sejak serangan maut pada 7 Oktober 2023, sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tebusan-tahanan antara Hamas dan Israel, di Nuseirat / Foto REUTERS

KAHERAH, 26 Februari-Kumpulan Hamas dilaporkan mencapai penyelesaian dengan Israel berhubung kelewatan pembebasan tahanan kedua-dua pihak.

Penyelesaian berkenaan adalah untuk membebaskan tahanan Palestin secara serentak dengan mayat tebusan Israel yang terbunuh, yang telah dipersetujui untuk diserahkan dalam fasa pertama, kata kumpulan pejuang Islam itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan berkenaan dibuat ketika lawatan kumpulan berkenaan di ibu kota Mesir pada Selasa.

Hamas berkata delegasinya, yang diketuai oleh ketua kumpulan itu di Gaza, Khalil Al-Hayya, telah menegaskan komitmen terhadap perjanjian gencatan senjata "dengan semua peringkat dan klausa."

"Mereka (tahanan Palestin) akan dibebaskan serentak dengan mayat tebusan Israel yang telah dipersetujui untuk diserahkan dalam fasa pertama, selain wanita dan kanak-kanak Palestin yang sepadan," kata Hamas.

Terdapat kebuntuan mengenai pembebasan lebih 600 tahanan Palestin yang telah ditangguhkan oleh Israel, yang menuduh Hamas melanggar perjanjian dengan membuat pertunjukan awam mengenai penyerahan tebusan Israel di Gaza.

Selasa lepas, salah seorang pegawai Israel berkata negara itu sedang mempertimbangkan untuk melanjutkan gencatan senjata selama 42 hari di Gaza bagi membawa pulang baki 63 tebusan, sementara menangguhkan perbincangan mengenai masa depan wilayah tersebut buat masa ini.

Fasa awal perjanjian gencatan senjata, yang dilancarkan dengan sokongan Amerika Syarikat dan bantuan perantara Mesir serta Qatar pada 19 Januari, dijangka berakhir pada Sabtu, dan tidak diketahui sama ada akan disambung atau sebaliknya.

Pegawai Hamas, Basem Naim, berkata kemajuan tidak dapat dicapai selagi tahanan masih ditahan tetapi menegaskan Hamas komited terhadap gencatan senjata kekal dan pengunduran penuh tentera Israel.

Perjanjian itu, yang merangkumi pembebasan 33 tebusan Israel sebagai pertukaran dengan kira-kira 2,000 tahanan dan banduan Palestin di penjara Israel serta pengunduran tentera Israel dari beberapa kawasan di Gaza, telah menghadapi pelbagai cabaran.

Setakat ini, 29 tebusan Israel - termasuk lima rakyat Thailand telah dibebaskan sebagai pertukaran untuk ratusan tahanan Palestin, manakala mayat empat lagi tebusan, yang sepatutnya diserahkan pada Khamis, masih belum diterima.

Pertempuran pada 7 Oktober 2023, mengakibatkan kira-kira 1,200 orang terbunuh dan 251 dijadikan tebusan serta dibawa ke Gaza.

Serangan Israel ke atas Gaza telah mengorbankan lebih 48,000 rakyat Palestin, menurut pegawai kesihatan Palestin, dan menyebabkan sebahagian besar wilayah itu musnah.

Israel telah menyatakan bahawa Hamas tidak boleh mempunyai sebarang peranan dalam pentadbiran masa depan Gaza dan menolak penglibatan Pihak Berkuasa Palestin.

Hamas pula berkata ia tidak semestinya menuntut untuk terus berkuasa di Gaza, yang telah diperintahnya sejak 2007, tetapi menegaskan bahawa rundingan perlu dilakukan dalam sebarang keputusan mengenai masa depan wilayah itu.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD