fb fb fb fb fb

Chile bergelap, kerajaan isytihar darurat & perintah berkurung

FOTO AFP

SANTIAGO, 26 Februari- Kerajaan Chile pada Selasa mengisytiharkan darurat dan melaksanakan perintah berkurung di kebanyakan kawasan negara itu, termasuk ibu negara, Santiago, susulan gangguan bekalan elektrik besar-besaran yang jarang berlaku, menyebabkan jutaan penduduk terputus bekalan kuasa.

Gangguan elektrik terburuk dalam tempoh lebih sedekad itu mencetuskan kekacauan pengangkutan di Santiago, di mana ribuan penumpang terpaksa dipindahkan dari rangkaian metro manakala orang ramai berebut-rebut menaiki bas yang sesak.

Menurut agensi tindak balas bencana Senapred, kawasan terjejas meliputi wilayah dari Arica di utara hingga Los Lagos di selatan, membabitkan lebih 90 peratus daripada 20 juta penduduk Chile.

Lebih lima jam selepas gangguan berlaku, Menteri Dalam Negeri, Carolina Toha, mengumumkan perintah berkurung bermula 10.00 malam hingga 6.00 pagi.

Beliau berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada pengisytiharan darurat oleh Presiden Gabriel Boric bertujuan menjamin keselamatan penduduk sekiranya gangguan bekalan elektrik berlarutan hingga malam.

Toha sebelum ini menolak kemungkinan sabotaj sebagai punca gangguan elektrik yang bermula pada pukul 3.16 petang, ketika musim panas di hemisfera selatan.

"Tiada sebab untuk menganggap ini adalah satu serangan," katanya sambil memaklumkan kepada wartawan bahawa ia lebih berkemungkinan berpunca daripada kegagalan operasi sistem dan menjangkakan grid akan pulih dalam beberapa jam.

Syarikat metro yang mengendalikan perkhidmatan untuk 2.3 juta penumpang setiap hari berkata, kakitangan telah dikerah ke semua stesen bagi membantu proses pemindahan dengan selamat.

Lampu isyarat yang tidak berfungsi menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk, malah ada penduduk terpaksa berjalan berjam-jam di bawah terik matahari untuk pulang ke rumah.

Beberapa premis perniagaan dan pejabat turut ditutup lebih awal.

"Mereka benarkan kami pulang awal kerana gangguan bekalan elektrik, tetapi sekarang saya tidak tahu bagaimana hendak balik kerana semua bas penuh," kata seorang pekerja, Maria Angelica Roman, 45 tahun.

"Di bank tempat saya bekerja, semua operasi terpaksa dihentikan," ujar Jonathan Macalupu, seorang kerani berusia 25 tahun.

Stesen penyiaran Chilevision menyiarkan rakaman orang ramai yang terkandas di atas permainan mekanikal beberapa meter tinggi di sebuah taman hiburan di Santiago sebelum diselamatkan.

Seorang jurugambar AFP pula menyaksikan anggota bomba menyelamatkan seorang wanita warga emas yang terperangkap dalam lif.

Sistem hospital dan penjara di negara itu beroperasi menggunakan penjana kecemasan.

Presiden Boric dilaporkan melakukan tinjauan udara di ibu negara menggunakan helikopter bagi menilai keadaan semasa.

Di bandar pesisir pantai Valparaiso, saksi turut melaporkan kedai dan perniagaan ditutup lebih awal serta berlakunya kekalutan trafik.

Berbeza dengan Cuba yang mengalami beberapa gangguan bekalan elektrik berskala besar dalam tempoh enam bulan lalu, Chile mempunyai salah satu rangkaian tenaga terbaik di Amerika Selatan dan tidak pernah mengalami gangguan sebesar ini sejak 15 tahun lalu.

Pada tahun 2010, kerosakan di sebuah loji kuasa di selatan Chile menyebabkan ratusan ribu penduduk terputus bekalan elektrik selama beberapa jam, sebulan selepas gempa bumi kuat berukuran 8.8 magnitud mengorbankan lebih 500 nyawa dan merosakkan grid tenaga negara.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE