JAKARTA, 26 Februari- Satu gempa bumi bermagnitud 6.1 melanda berhampiran pulau Sulawesi, Indonesia pagi tadi, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), menyebabkan penduduk panik dan berlari keluar dari kediaman masing-masing, namun tiada kerosakan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Gempa berlaku pada pukul 6.55 pagi waktu tempatan pada kedalaman 10 kilometer dengan pusat gempa terletak di luar pesisir berhampiran wilayah Sulawesi Utara, menurut USGS.
Agensi meteorologi Indonesia (BMKG) melaporkan magnitud lebih rendah iaitu 6.0 dan mengesahkan tiada potensi tsunami.
Penduduk di Sulawesi Utara menceritakan detik cemas ketika gempa melanda.
"Saya baru sahaja terjaga apabila menyedari ia adalah gempa bumi. Ia kuat dan bergoyang ke kiri dan kanan," kata Gita Waloni, seorang tetamu hotel berusia 25 tahun di daerah Minahasa Utara kepada AFP.
"Barang-barang dalam bilik saya bergegar. Saya terus keluar kerana takut berlaku gegaran susulan ketika berada dalam lif. Semua tetamu lain juga melarikan diri."
Indonesia yang merupakan negara kepulauan besar sering mengalami gempa bumi kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik kawasan dengan aktiviti seismik yang tinggi di mana plat tektonik bertembung, merentangi Jepun, Asia Tenggara, hingga ke lembangan Pasifik.
Pada Januari 2021, gempa bumi bermagnitud 6.2 yang melanda Sulawesi mengorbankan lebih 100 nyawa dan menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Pada 2018, gempa bumi bermagnitud 7.5 dan tsunami di Palu, Sulawesi membunuh lebih 2,200 orang.
Manakala pada 2004, gempa bumi bermagnitud 9.1 melanda wilayah Aceh, mencetuskan tsunami dan meragut lebih 170,000 nyawa di Indonesia.-AFP