fb fb fb fb fb

Hakim lanjutkan tempoh tahanan bekas Presiden Peru kepada 36 bulan

(FOTO AFP)

LIMA, 10 Mac-Hakim mahkamah agung Peru melanjutkan tempoh tahanan perbicaraan kepada bekas presiden negara itu, Pedro Castillo daripada 18 bulan kepada 36 bulan.

Castillo yang digulingkan dan diberkas pada Disember lalu, ditahan atas tuduhan memberontak. Pendakwa raya pada Rabu lalu menambah dakwaan berkaitan organisasi jenayah, pakatan sulit dan menggunakan kedudukan bagi tujuan rasuah.

Pemimpin berusia 53 tahun itu yang dipenjarakan sejak Disember lalu ditahan selepas cuba membubarkan Parlimen dan meneruskan pemerintahan melalui dekri.

Castilo didakwa cuba menggunakan undi ketiga dalam Kongres untuk mendakwanya atas tuduhan rasuah.

Sejak mengambil alih pentadbiran pada Julai 2021, dia berdepan tentangan daripada pembangkang dan siasatan bermula serta-merta sejak didakwa mengambil rasuah.

Penggulingan Castillo mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh negara, menyebabkan sekurang-kurangnya 54 maut dan kira-kira 600 cedera akibat pertempuran antara penunjuk perasaan dan pegawai keselamatan.

Penunjuk perasaan menggesa peletakan jawatan pengganti Castillo yang juga bekas timbalannya, Dina Boluarte, selain mendesak pilihan raya diadakan segera, perlembagaan baru dan pembubaran Parlimen.

Bercakap sewaktu perbicaraan secara maya kelmarin, bekas guru sekolah luar bandar dan ketua kesatuan itu berkata: "Saya menafikan dakwaan bertanggungjawab atau menyertai rangkaian jenayah", kata Castillo

"Satu-satunya jenayah saya lakukan ialah berkhidmat sebagai Presiden untuk negara saya," katanya lagi.-AFP


(Bekas Presiden Peru, Pedro Castillo/Foto AFP)

Media Baharu