fb fb fb fb fb

UK pertimbang longgarkan dasar visa pekerja

(Seorang wanita sedang membeli barangan di Pasar Lewisham, Tenggara London/FOTO REUTERS)

LONDON, 10 Mac - Kerajaan Britain sedang mempertimbangkan kelonggaran dalam permohonan visa untuk membantu menangani kekurangan tenaga buruh, yang sebahagiannya dicetuskan oleh peraturan imigresennya yang lebih ketat selepas Brexit.

Kerajaan menerima pakai model imigresen berasaskan mata selepas keluar dari Kesatuan Eropah pada Januari 2021.

"Kami bekerja... untuk memastikan sistem berasaskan mata kami berfungsi untuk UK dan berfungsi untuk kepentingan ekonomi yang terbaik, dengan mengutamakan kemahiran dan bakat yang kami perlukan dan menggalakkan pelaburan jangka panjang dalam tenaga kerja domestik," kata jurucakap kerajaan.

"Ini termasuk menyemak senarai kekurangan pekerjaan bagi memastikan ia mencerminkan pasaran buruh semasa."

Senarai kekurangan itu bertujuan melonggarkan permohonan visa untuk profesion yang kekurangan tenaga kerja.

Kebanyakan syarikat British telah lama meminta kerajaan melonggarkan polisi visanya.

Sektor perhotelan, pengangkutan jalan raya dan pertanian terjejas terutamanya kekurangan tenaga buruh Eropah yang dicetuskan oleh Brexit dan diburukkan lagi oleh kejatuhan akibat COVID-19.

(Orang ramai sedang berdiri di Sungai Thames di London/FOTO REUTERS)

Menurut data terkini dari Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS), UK kini mempunyai kira-kira satu juta pekerjaan yang masih belum diisi.

Angka itu lebih tinggi dengan memasukkan bilangan warga Britain yang memilih untuk meninggalkan pasaran buruh akibat penyakit jangka panjang atau bersara awal.

ONS menerbitkan data tinjauan pada Khamis yang menunjukkan bahawa lebih satu perempat firma UK dengan 10 atau lebih pekerja mengalami kekurangan pada akhir Februari.

Secara amnya tinjauan data itu sama seperti pada akhir Januari.

"Banyak (perniagaan) akan mempunyai sedikit pilihan selain menaikkan gaji untuk menarik dan mengekalkan kakitangan," kata Susannah Streeter, ketua wang dan pasaran di broker saham Hargreaves Lansdown.

"Ini menimbulkan lebih banyak tekanan pada masa apabila kos tenaga yang lebih tinggi dan kenaikan harga barangan masih mengakibatkan situasi yang memeningkan."

Kerajaan UK dan Bank of England menggesa majikan untuk menunjukkan kekangan, memberi amaran bahawa kenaikan gaji yang tinggi akan menjejaskan percubaan dalam usaha mengurangkan inflasi.

Bagaimanapun, mogok semakin meningkat di Britain dalam beberapa bulan kebelakangan ini apabila pekerja membantah berkaitan isu gaji atas kegagalan mengekang inflasi harga pengguna yang tinggi selama beberapa dekad, sekali gus memburukkan krisis kos sara hidup. - AFP

Media Baharu