fb fb fb fb fb

Haiti berisiko dikuasai kumpulan penjenayah, PBB desak bantuan dunia

Foto Reuters

NEW YORK, 23 Januari- Ibu negara Haiti, Port-au-Prince berisiko dikuasai sepenuhnya oleh kumpulan penjenayah jika masyarakat antarabangsa tidak meningkatkan bantuan kepada misi keselamatan yang disokong PBB.

Amaran itu disuarakan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

Dalam laporan terbaharu, Guterres menegaskan keperluan mendesak untuk lebih banyak dana, peralatan dan anggota pasukan bagi memperkukuh misi keselamatan antarabangsa yang dipimpin Kenya.

Kelewatan tambahan berisiko membawa kepada keruntuhan institusi keselamatan Haiti sekali gus membenarkan kumpulan penjenayah menguasai seluruh kawasan metropolitan.

Setakat ini, hanya sekitar 800 daripada 2,500 pegawai polis yang dirancang telah dikerah, menyebabkan misi keselamatan Multinational Security Support (MSS) menghadapi kekangan besar dalam menyokong pasukan polis Haiti.

Haiti sedang berdepan cabaran besar termasuk kekosongan jawatan presiden dan parlimen.

Haiti diperintah oleh badan peralihan yang bergelut dengan keganasan kumpulan penjenayah, kemiskinan dan ketidakstabilan politik.

Lebih 5,601 orang dilaporkan terbunuh akibat keganasan kumpulan penjenayah pada 2024, meningkat kira-kira 1,000 kes berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, Wakil Khas PBB di Haiti, Maria Isabel Salvador, berkata situasi kemanusiaan kini berada pada tahap "membimbangkan," dengan lebih enam juta orang, memerlukan bantuan.

Meskipun terdapat sedikit kemajuan politik, Salvador mengingatkan bahawa kerangka peralihan Haiti masih rapuh.

Kekacauan politik dan serangan kumpulan penjenayah juga memaksa penutupan lapangan terbang Port-au-Prince kepada penerbangan komersial sejak November lalu.

Guterres menyeru sokongan antarabangsa yang lebih kuat untuk mengelakkan situasi bertambah buruk dan memberi peluang kepada Haiti untuk memulihkan kestabilan serta keselamatan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM