fb fb fb fb fb

GWM China luaskan operasi di Brazil melalui pengeluaran tempatan

Foto AFP

SAO PAULO, 17 Ogos – Pengeluar automotif China, Great Wall Motors (GWM) melancarkan kilang pertamanya di Brazil dalam usaha mengukuhkan kedudukan pasaran dan meningkatkan jualan di negara itu serta rantau Amerika Latin.

Kilang yang terletak di Iracemapolis, São Paulo itu secara rasmi memulakan operasi pada Jumaat lalu.

Dengan keluasan 1.2 juta meter persegi, kemudahan tersebut dilengkapi kawasan kimpalan, barisan pemasangan, kemudahan peralatan, bekalan tenaga dan rangkaian logistik.

Ia merupakan pangkalan pengeluaran kenderaan penuh ketiga terbesar GWM di luar negara, dengan pengeluaran kenderaan untuk seluruh pasaran Amerika Latin.

Kilang pintar itu membolehkan pengeluaran bersama kenderaan hibrid, hibrid plug-in serta diesel.

Buat permulaan, kapasiti pengeluaran tahunan kilang itu mencecah 50,000 unit, sekali gus dijangka mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan tempatan menjelang akhir tahun ini.

Brazil kini merupakan pasaran automobil keenam terbesar dunia.

Pada separuh pertama tahun ini sahaja, lebih 15,700 kenderaan GWM terjual di negara tersebut, mencatatkan peningkatan 19.8 peratus berbanding tahun lalu iaitu 17 mata peratusan melebihi purata industri. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN