fb fb fb fb fb

Guterres tiba di Kiev, bakal bertemu Zelensky secepat mungkin

KIEV, 28 April - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu PBB, Antonio Guterres mengumumkan ketibaannya di Kiev selepas mengadakan rundingan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Mocsow.

Dalam satu ciapannya di laman twitter, beliau mengesahkan ketibaanya dan berkata akan menemui Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky secepat mungkin.

"Kami akan meneruskan usaha memberi sokongan kemanusiaan dan memastikan pemindahan orang awam dari zon konflik dilakukan secepat mungkin. Lebih cepat perang ini berakhir, lebih baik. Demi Ukraine, Rusia, dan dunia," katanya.

Ketika bertemu Putin, Guterres dilaporkan mengulangi gesaan agar kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan dan bekerjasama menubuhkan koridor kemanusiaan yang "selamat dan berkesan" di kawasan yang terjejas.

Rundingan yang berlangsung di Turki sebelum ini terhenti selepas penemuan mayat orang awam di kawasan berhampiran Kiev yang sebelum ini diduduki tentera Rusia.

Sementara itu Putin dalam satu kenyataan berkata, meskipun operasi ketenteraan sedang berjalan, Rusia tetap berharap agar segala persetujuan dapat dilakukan menerusi landasan diplomatik tanpa campur tangan luar.

Ia susulan kehadiran beberapa pegawai kanan Amerika Syarikat yang sekali lagi mengulangi komitmen mereka untuk membantu Ukraine dari segi politik dan dana ketenteraan bagi menghadapi Rusia. - AFP


(Foto fail AFP)

Media Baharu