TIMUR FLORES, 8 November- Gunung Lewotobi Laki-Laki yang terletak di timur Indonesia meletus lagi hari ini mengeluarkan menara abu setinggi lebih lapan kilometer ke langit selepas pihak berkuasa memperluaskan zon pengecualian untuk penduduk setempat.
Gunung berapi berkembar setinggi 1,703 meter di pulau pelancongan Flores itu meletus lebih 12 kali minggu ini, mengorbankan sembilan orang selepas letusan pertama pada Isnin.
"Terdapat dua letusan, pertama pada pukul 1.55 tengah hari (waktu tempatan), ketinggiannya mencapai 4,000 meter, tetapi secara tiba-tiba, satu minit kemudian pada pukul 1.56 tengah hari, abu gunung berapi mencapai lapan hingga 10 kilometer," kata Ketua Agensi Vulkanologi, Prihatin Hadi Wijaya pada satu sidang media.
Pegawai di pos pemantauan juga terpaksa mengosongkan kawasan selepas letusan besar, sementara abu dan batu kecil jatuh, serta penduduk di luar zon pengecualian menyaksikan kejadian itu.
Agensi Vulkanologi memperluaskan zon pengecualian sejauh satu kilometer kepada lapan kilometer sekitar kawah.
Bagaimanapun, tiada laporan kerosakan di kampung-kampung berhampiran selepas letusan baharu hari ini.
Semalam, Gunung Lewotobi Laki-Laki melontarkan menara abu setinggi lapan kilometer yang menurut penduduk tempatan adalah terbesar pernah mereka lihat. -AFP