fb fb fb fb fb

Gunung Ibu meletus, orang ramai digesa jauhi zon bahaya

Foto AFP

JAKARTA, 12 Januari- Gunung Ibu di wilayah Maluku Utara, Indonesia meletus pada Sabtu, memuntahkan awan yang mengandungi abu setinggi 4,000 meter dari puncaknya, sekali gus mendorong pihak berkuasa mengeluarkan amaran kepada orang ramai.

Letusan yang berlaku di daerah Halmahera Barat pada 7.35 malam waktu tempatan Sabtu itu berlangsung kira-kira tiga minit lima saat, mengeluarkan abu tebal serta awan gelap ke arah barat dan memuntahkan lava sejauh dua kilometer (km) dari kawah gunung berapi itu.

Pihak berkuasa telah melarang semua aktiviti awam, termasuk mendaki dalam radius empat kilometer dari gunung berapi itu dan zon sejauh 5.5 km ke arah utara dari kawah aktif.

“Bagi menjangkakan potensi bahaya, penduduk digesa memakai pelitup muka dan pelindung mata seperti cermin mata,” kata jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, Abdul Muhari dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pihak berkuasa tempatan juga diminta berkoordinasi dengan Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) untuk pengurangan risiko.

Aktiviti gunung berapi itu kekal pada tahap III, atau “berjaga-jaga,” kerana letusannya telah berubah-ubah sejak Jun 2024, dengan beberapa hari mencatatkan sehingga 70 letusan.

Terdahulu pada Jumaat, gunung berapi itu meletus dua kali, menghamburkan awan mengandungi abu setinggi 3,000 meter ke udara, dengan awan abu bergerak ke arah selatan dan tenggara.

Menurut PVMBG, letusan seperti itu adalah fenomena biasa bagi Gunung Ibu berdasarkan tahap aktivitinya ketika ini. Orang ramai dinasihatkan supaya terus berwaspada dan mengelak daripada terpengaruh dengan maklumat palsu.- BERNAMA

ROSLINA BINTI DIN