fb fb fb fb fb

Guatemala rancang bina pusat migran baharu di sempadan Mexico, dibiayai USAID

Presiden Guatemala, Bernardo Arevalo

GUATEMALA CITY, 13 Mac- Kerajaan Guatemala mengumumkan rancangan untuk membina sebuah pusat baharu bagi menerima migran yang dihantar pulang berhampiran sempadan Mexico, yang dibiayai oleh Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID), meskipun program agensi itu telah dipotong bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.

Presiden Guatemala, Bernardo Arevalo, yang berusaha mengelak ketegangan dengan pentadbiran Trump, berkata pusat tersebut akan menyediakan fasiliti dan suasana terbaik bagi memastikan migran yang dihantar pulang merasa mereka disambut dengan tangan terbuka.

Pusat itu, yang mampu menampung sehingga 250 migran pada satu masa, dijangka mula beroperasi pertengahan 2026 di bandar sempadan Tecun Uman lokasi utama ketibaan migran dari Mexico melalui darat.

Menurut Pengarah Institut Migrasi Guatemala, Danilo Rivera, projek tersebut dibiayai menerusi peruntukan sebanyak AS$2 juta daripada USAID sejak 2020.

Pembinaan pusat itu akan dipantau oleh Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), dengan Ketua Pengarahnya, Amy Pope, turut menemani Arevalo melawat sempadan Guatemala-Mexico.

USAID menjadi sasaran pemotongan bajet pentadbiran Trump sejak beliau kembali memegang jawatan Januari lalu.

Selepas membekukan semua bantuan asing untuk semakan, Jabatan Negara Amerika Syarikat minggu lalu mengumumkan akan menamatkan 83 peratus kontrak USAID.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE