OTTAWA, 13 Mac- Bekas gabenor bank pusat, Mark Carney, akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kanada yang baharu bersama barisan kabinetnya pada pagi Jumaat, menurut Pejabat Gabenor Jeneral pada Rabu.
Carney, yang kini menerajui Parti Liberal, berjanji untuk memastikan peralihan kuasa berjalan lancar dan pantas selepas mengambil alih jawatan daripada Justin Trudeau, yang mengumumkan peletakan jawatannya pada Januari lalu selepas hampir sedekad memimpin negara.
Meskipun masih baharu dalam dunia politik pada usia 59 tahun, Carney meraih kemenangan besar Ahad lalu apabila dipilih sebagai ketua baharu Parti Liberal dengan memperoleh 86 peratus daripada lebih 150,000 undi yang dikira.
Langkahnya menceburi politik, selepas mengetuai Bank of Canada dan Bank of England, hadir pada ketika hubungan perdagangan dengan Amerika Syarikat tegang.
Dalam ucapan kemenangannya, Carney memberi amaran kepada Washington, berkata: "Dalam perdagangan seperti dalam hoki, Kanada akan menang."
Pada Rabu, beliau menyatakan kesediaannya untuk bertemu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi merundingkan perjanjian perdagangan baharu demi mengelak ketegangan ekonomi berterusan.
Terdahulu, Amerika Syarikat mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium, yang disusuli tindakan balas Kanada menerusi tarif mereka sendiri.-AFP