fb fb fb fb fb

GSF tetap teruskan pelayaran ke Gaza tanpa eskot Itali

FOTO AFP

ROM, 1 Oktober - Kumpulan Global Sumud Flotilla tetap meneruskan pelayaran ke Gaza bagi menghantar bantuan, meskipun Itali mengumumkan kapal perangnya tidak lagi akan mengiringi konvoi itu.

Kementerian Pertahanan Itali dalam satu kenyataan berkata, kapal berkenaan akan berhenti mengekori flotila sebaik ia berada dalam jarak 150 batu nautika, iaitu kira-kira 278 kilometer dari pesisir Gaza.

Kerajaan Itali sebelum ini menggesa pasukan flotila menerima cadangan kompromi agar bantuan disalurkan menerusi pelabuhan Cyprus, bagi mengelakkan sebarang konfrontasi dengan Israel.

Namun, flotila berkenaan dalam satu hantaran media sosial menyifatkan langkah Itali itu sebagai sabotaj dan menegaskan jika Itali benar-benar mahu melindungi nyawa, ia tidak seharusnya bertindak sebagai penyokong Israel atau menekan orang awam supaya berundur.

Minggu lalu, Itali dan Sepanyol menghantar kapal tentera laut untuk membantu flotila itu selepas ia diserang dron di perairan antarabangsa berhampiran Greece.

Israel tidak memberikan maklum balas terhadap dakwaan terbabit, namun sebelum ini menegaskan akan menggunakan apa sahaja cara bagi menghalang flotila berkenaan menembusi sekatan Gaza, yang didakwanya sah dari segi undang-undang sebagai sebahagian daripada perang menentang Hamas.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE