fb fb fb fb fb

Perdana Menteri Australia bimbang laporan China tangguh pembelian bijih besi BHP

Anthony Albanese/ REUTERS

CANBERRA, 1 Oktober - Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, pada Rabu menyuarakan kebimbangan terhadap laporan bahawa pembeli bijih besi milik kerajaan China telah mengambil langkah untuk menangguhkan pembelian kargo bijih besi daripada syarikat perlombongan BHP.

Semalam Bloomberg News memetik sumber yang rapat dengan perkara itu, melaporkan bahawa syarikat milik kerajaan China, China Mineral Resources Group (CMRG), meminta pengeluar keluli dan peniaga negara itu menangguhkan pembelian kargo bijih besi BHP yang didenominasikan dalam dolar Amerika Syarikat, ketika rundingan tahunan harga sedang berlangsung.

"Saya bimbang mengenai perkara itu dan apa yang kami mahu pastikan ialah pasaran beroperasi dengan baik.

"Kita pernah berdepan isu sebegini sebelum ini. Saya mahu melihat bijih besi Australia dapat dieksport ke China tanpa sebarang halangan," kata Albanese kepada pemberita.

CMRG setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen yang dihantar melalui e-mel. Jurucakap BHP pada Selasa pula memaklumkan syarikat itu tidak mengulas mengenai rundingan komersial.

Albanese menyatakan harapan agar isu berkenaan dapat diselesaikan segera sambil mengakui perbezaan pendapat sememangnya boleh berlaku ketika proses rundingan harga.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI