fb fb fb fb fb

Google guna tenaga nuklear untuk bangunkan AI

Foto Hiasan: AFP

WASHINGTON, 15 Oktober- Anak syarikat Google, Alphabet, mengumumkan sudah menandatangani perjanjian korporat pertama di dunia untuk membeli beberapa reaktor modular kecil tenaga nuklear bagi membangunkan kecerdasan buatan (AI).

Ia sebahagian daripada usaha syarikat teknologi itu untuk memenuhi permintaan tenaga sektor AI menggunakan kuasa nuklear, yang lebih berdaya maju dalam jangka panjang.

Perjanjian syarikat teknologi dengan Kairos Power menyasarkan untuk membawa reaktor modular kecil pertama Kairos dalam talian menjelang 2030, diikuti dengan unit tambahan pada 2035.

Kedua-dua syarikat bagaimanapun tidak mendedahkan butiran kewangan perjanjian atau lokasi loji yang akan dibina di Amerika Syarikat (AS).

Google berkata mereka bersetuju membeli 500 megawatt tenaga daripada enam hingga tujuh reaktor, yang lebih kecil berbanding keluaran reaktor nuklear semasa.

"Kami merasakan nuklear boleh memainkan peranan penting dalam membantu memenuhi permintaan kami... sepanjang masa," kata Michael Terrell, pengarah kanan tenaga dan iklim di Google.

Mac lalu, Amazon.com membeli pusat data berkuasa nuklear daripada Talen Energy.

Bulan lalu, Microsoft dan Constellation Energy menandatangani perjanjian kuasa untuk membantu memulihkan semula sebuah unit loji di Pennsylvania, tapak kemalangan nuklear terburuk di AS pada 1979.

Penggunaan tenaga pusat data di AS dijangka meningkat tiga kali ganda antara 2023 dan 2030, yang diunjur memerlukan kira-kira 47 gigawatt kapasiti penjanaan baru.

Perjanjian Google dengan Kairos perlu mendapatkan kelulusan penuh daripada Suruhanjaya Pengawalseliaan Nuklear (NRC) AS dan agensi tempatan.

Akhir tahun lalu, Kairos memperoleh permit pembinaan daripada NRC untuk membina reaktor contoh di Tennessee.

"NRC bersedia untuk menyemak semula permohonan untuk reaktor baharu dengan cekap dan sewajarnya," kata Scott Burnell, jurucakap NRC.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI