fb fb fb fb fb

Global Sumud Flotilla: Dikepung dron Israel, bekas tentera AS tidak gentar

Aktivis dan veteran tentera Amerika Syarikat (AS), Zue Jernstedt (kanan). Kapten dan aktivis veteran di atas kapal Ohwayla milik @globalsumudflotilla menunjukkan bendera yang dikibarkan 'Free Gaza' ketika berjaya memecah sekatan Israel pada 2008, kini dibawa semula dalam misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza/Foto Instagram @vetsaboutface

GAZA, 26 September – Aktivis dan veteran tentera Amerika Syarikat (AS), Zue Jernstedt mendedahkan cabaran getir dihadapi Global Sumud Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Bercakap dari kapal Ohwayla pada Selasa, beliau berkata lima veteran AS antara 12 penumpang kini berjaga sepanjang malam, termasuk memantau dron yang kerap dikesan di ruang udara.

“Saya tahu Konvensyen Geneva, saya tahu undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Kami dilindungi di bawah semua itu. Israel melakukan kepungan haram terhadap orang awam,” katanya.

Jernstedt juga tidak gentar dengan kemungkinan dipenjara jika flotilla dipintas.

"Saya rela duduk di penjara daripada mengaku sesuatu yang tidak saya lakukan ketika mereka sendiri melanggar undang-undang dan mencabuli hak saya.

"Malah, berada di penjara tidak seberapa berbanding berada di Gaza sekarang – dibom setiap hari, kebuluran. Semua di atas kapal ini telah sepakat bahawa kami rela menjalani hukuman penjara, kami tidak akan menyentuh makanan yang mereka beri.

"Itu tiada makna jika dibandingkan dengan apa yang berlaku di Gaza, malah ia akan menunjukkan betapa zalimnya mereka dan bagaimana mereka langsung tidak menghormati undang-undang antarabangsa mahupun nyawa manusia," katanya

Israel sebelum ini menegaskan tidak akan membenarkan flotilla memasuki Gaza, dengan alasan kawasan itu zon perang aktif.

Global Sumud Flotilla berlepas dari Genoa dan Barcelona pada 30 dan 31 Ogos lalu, membabitkan puluhan kapal dengan misi terbesar gerakan seluruh dunia memasuki Gaza. - VIORY

GRACE AISYAH KEDAYAN