fb fb fb fb fb

Giliran Australia haramkan TikTok

(Foto hiasan)

SYDNEY, 4 April- Australia akan mengharamkan TikTok pada peranti kerajaan, sekali gus menyertai senarai negara Barat melarang aplikasi milik China atas faktor kebimbangan keselamatan negara.

Peguam Negara Mark Dreyfus berkata keputusan itu adalah berdasarkan nasihat daripada agensi perisikan negara itu dan ia akan dilaksanakan secepat mungkin.

Australia adalah ahli terakhir perikatan keselamatan Five Eyes yang dirahsiakan untuk meneruskan larangan TikTok pada peranti kerajaan, menyertai sekutunya Amerika Syarikat, Britain, Kanada dan New Zealand.

Perancis, Belanda dan Suruhanjaya Eropah telah membuat langkah sama.

Pakar keselamatan siber telah memberi amaran bahawa aplikasi yang mempunyai lebih daripada satu bilion pengguna itu boleh digunakan untuk menyimpan data yang kemudiannya dikongsi dengan kerajaan China.

TikTok kemudiannya menyifatkan larangan sedemikian berpunca daripada xenophobia, tetapi mengakui pada Disember tahun lalu bahawa ia telah mengumpul data pengguna untuk mengintip wartawan.

Aplikasi tersebut digunakan untuk berkongsi video pendek dan bersifat ringan.

Di seluruh dunia, ia semakin popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Banyak jabatan kerajaan pada mulanya teruja untuk menggunakan TikTok sebagai cara untuk berhubung dengan demografi yang lebih muda yang lebih sukar dicapai melalui saluran media tradisional.

Awal tahun ini, kerajaan Australia mengumumkan akan menanggalkan kamera CCTV buatan China dari pejabat ahli politik juga kerana kebimbangan keselamatan.-AFP


(Foto hiasan)

Media Baharu