fb fb fb fb fb

Polis Thailand kesan seorang lagi suspek tembak mati rakyat Malaysia di Sungai Golok

FOTO HIASAN

NARATHIWAT, 11 November - Polis Thailand sedang mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tembak mati seorang rakyat Malaysia di pekan Sungai Golok, selatan Thailand, pada 1 Nov lepas.

Ketua Polis Wilayah Narathiwat Mej Jen Prayong Kotsakha berkata suspek berkenaan dikenali sebagai Salip Samae, 27, yang merupakan penduduk tempatan di pekan itu.

Beliau berkata siasatan mendapati Salip merupakan adik kepada seorang lagi suspek, Alif Samae, 31, yang telah menyerah diri kepada polis pada 2 Nov.

“Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada suspek memiliki dua kerakyatan atau sebaliknya. Jika dia melarikan diri ke negara jiran, kemungkinan besar laluan yang digunakan adalah laluan haram,” katanya kepada media Malaysia menerusi jurubahasa tempatan baru-baru ini.

Prayong berkata pihaknya sedang giat mengesan suspek dan melaksanakan sekatan jalan raya bagi membantu siasatan serta menyelesaikan kes pembunuhan itu.

Pada 2 Nov lalu, Bernama melaporkan seorang lelaki rakyat Malaysia maut ditembak dalam kejadian di sebuah rumah di pekan berkenaan.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE