BAITULMAQDIS, 31 Oktober- Gereja 'Orthodox Patriarchate of Jerusalem' menyalahkan Israel atas pengeboman pusat kebudayaannya di Bandar Gaza dan mengutuk serangan itu sebagai tidak wajar dan membabi buta.
“Serangan ini mewakili penjelmaan nyata keazaman tidak wajar Israel untuk memusnahkan infrastruktur awam dan pusat khidmat sosial, serta tempat perlindungan untuk orang awam yang terperangkap di kawasan yang dikepung,” kata gereja itu dalam satu kenyataan.
Seorang wartawan AFP menyaksikan bangunan sekolah dan pusat kebudayaan gereja Ortodoks itu runtuh di Gaza City, dengan asap masih mengepul daripada runtuhan.
Tentera Israel bagaimanapun bertindak kunci mulut berhubung serangan tersebut.
Israel telah mengebom wilayah Palestin sejak serangan 7 Oktober yang mengakibatkan lebih 8,500 orang terbunuh di Gaza,.
Seorang penduduk yang tinggal berhampiran pusat kebudayaan Ortodoks memberitahu AFP dia terkejut melihat kemusnahan akibat serangan Israel di situ.
"Gereja ini (harta) telah menjadi sasaran peluru berpandu, apa yang ada di dalamnya? Mengapa semua ini berlaku?" tanya Hassan Abu Mersa.
Pihak gereja berkenaan memaklumkan, 19 tempat ibadat, termasuk gereja dan masjid, telah menjadi sasaran serangan Israel sejak 7 Oktober.
Beberapa orang terbunuh pada 20 Oktober ketika mereka berlindung di perkarangan Gereja Saint Porphyrius, gereja tertua yang masih digunakan di Gaza, apabila ia dibom oleh Israel.-AFP