SURIN, 29 Julai - Ratusan rakyat Thailand masih berlindung di sebuah pusat perlindungan sementara di Surin, timur laut Thailand, meskipun negara itu dan Kemboja telah mencapai persetujuan gencatan senjata.
Rakaman pada Isnin menunjukkan pelarian, termasuk wanita dan kanak-kanak, berkumpul di pusat berkenaan dengan hanya membawa barangan peribadi yang penting.
Turut kelihatan orang ramai beratur panjang untuk mendapatkan makanan.
Salah seorang penghuni pusat tersebut, Noon, berkata beliau melarikan diri selepas sebutir bom jatuh berhampiran rumahnya.
“Saya keluar sebab ada perang. Bom jatuh dekat rumah. Saya sempat lari dan duduk di sini,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Pad, mendakwa seluruh penduduk kampungnya dipindahkan selepas diserang.
“Pada Khamis lalu, tembakan pertama berlaku pada pukul 7.11 pagi. Ada yang terbunuh. Petangnya pula, senjata api dilepaskan di tengah kampung. Lebih 10 hingga 20 peluru jatuh berhampiran sebuah kedai," katanya.
Terdahulu, Kemboja dan Thailand bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat dalam satu mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya.
Keganasan memuncak berhampiran kuil yang menjadi rebutan, Prasat Ta Muen Thom, pada Khamis lalu dengan pertempuran membabitkan senjata ringan, tembakan artileri serta serangan udara yang dilaporkan dilancarkan oleh Thailand.
Ketegangan tercetus susulan insiden letupan periuk api awal minggu itu yang mencederakan beberapa anggota tentera Thailand.
Kedua-dua negara saling menuding jari antara satu sama lain atas punca tercetusnya konflik.
Setakat ini, jumlah korban dalam tempoh tiga hari pertempuran dianggarkan seramai 36 orang, manakala lebih 300,000 orang telah dipindahkan dari kedua-dua belah sempadan.
Pertikaian itu berpunca daripada isu pemilikan beberapa buah kuil di kawasan sempadan yang tidak pernah dimuktamadkan sejak era penjajahan. -VIORY
BERITA BERKAITAN: